PEKEMA lancar Golf President’s Ke-12, tawar kereta elektrik sebagai hadiah utama

FOTO BERITA: Pelancaran & Sidang Media oleh Datuk Hj. Mohamad Nazari Nordin Presiden PEKEMA sempena Penganjuran PEKEMA Golf President’s Cup 2026 Ke-12 di Dewan Dato’ Haji Zainuddin Abd Rahman, Aras 7, Wisma Yayasan PEKEMA, Cyberjaya. 6hb Mei 2026 (Rabu)

Presiden Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), Mohamad Nazari Nordin hari ini melancarkan penganjuran PEKEMA Golf President’s Cup Edisi Ke-12 yang tampil dengan skala lebih besar serta tawaran hadiah lumayan.

Majlis pelancaran dan sidang media itu berlangsung di Wisma Yayasan PEKEMA, sebagai permulaan kepada kejohanan golf tahunan berprestij yang semakin mendapat perhatian komuniti sukan dan industri automotif negara.

“Melihat sambutan luar biasa tahun lalu, PEKEMA optimis kejohanan kali ini akan terus berkembang bukan sahaja sebagai acara sukan, tetapi juga platform jaringan strategik industri dan korporat,” katanya.

Sebagai tarikan utama, kejohanan ini menawarkan hadiah hole-in-one yang eksklusif, termasuk empat buah kenderaan elektrik daripada jenama Dongfeng. Antara model yang ditawarkan ialah Dongfeng BOX, model baharu Vigo serta model premium Dongfeng 007.

Selain itu, peserta turut berpeluang memenangi hadiah wang tunai RM28,888 bagi kategori hole-in-one di salah satu lubang kejohanan. Kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan melebihi RM500,000 itu akan berlangsung di Palm Garden Golf Club, lokasi sama yang mencatat kejayaan besar pada edisi lalu dengan hampir 500 penyertaan.

Selain hadiah utama, peserta juga berpeluang memenangi pelbagai ganjaran lain termasuk cabutan bertuah, hadiah kategori serta hadiah ‘novelty’ seperti Nearest to Pin dan Longest Drive. Setiap peserta turut menerima beg cenderamata eksklusif daripada pihak penganjur.

Dalam pada itu, penganjuran kali ini turut membawa misi kebajikan apabila PEKEMA bekerjasama dengan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan untuk menyalurkan bantuan kepada bekas atlet negara. Antara penerima sumbangan ialah bekas pemain golf profesional negara, Shaaban Hussin yang pernah mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa termasuk memenangi pingat emas Sukan SEA 2001.

Sejak diperkenalkan pada 2006, kejohanan ini telah berkembang sebagai platform penting dalam menggabungkan sukan, jaringan industri serta tanggungjawab sosial korporat.

Pendaftaran bagi edisi ke-12 kini dibuka dan dijangka menerima sambutan menggalakkan berdasarkan kejayaan penganjuran sebelum ini.