Politik baharu bukan soal siapa besar, tetapi perpaduan dan kestabilan – Mohamad Sabu

FOTO BERITA: Ceramah Perdana “Memperkukuh Perpaduan, Membina Keyakinan Rakyat” bersama Datuk Seri Mohamad Sabu, Anthony Loke, Saifuddin Nasution Ismail dan YAB Datuk Seri Utama Aminuddin Harun di Letak Kereta Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Negeri Sembilan. 6hb Mei 2026 (Rabu)

Ribuan penyokong membanjiri kawasan parkir Stadium Tuanku Abdul Rahman malam tadi bagi menghadiri Ceramah Perdana bertemakan “Memperkukuh Perpaduan, Membina Keyakinan Rakyat” yang menampilkan pimpinan utama Pakatan Harapan. Program tersebut menampilkan Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung Democratic Action Party, Anthony Loke, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Aiman Athirah Sabu, Adly Zahari, Dr. Hatta Ramli MK Ibrahim Abd Rahman dan pimpinan pusat dan negeri.

Dalam ucapannya, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu mengimbau perjalanan panjang perjuangan politik pembangkang sejak era sebelum Reformasi sehingga berjaya membentuk kerajaan menerusi Pilihan Raya Umum 2018. Beliau berkata, perubahan kerajaan melalui proses demokrasi bukan sesuatu yang mudah, malah memerlukan pengorbanan besar termasuk berhadapan tangkapan, sekatan politik dan tekanan pihak berkuasa pada suatu ketika dahulu.

“Kita pernah berceramah depan 15 orang, polis pula 50 orang. Kita pernah kena gas pemedih mata dan lari ikut tingkap semata-mata mahu mempertahankan ruang demokrasi dalam negara,” katanya disambut sorakan hadirin. Menurut beliau, politik masa kini bukan lagi soal parti mana paling besar, sebaliknya menuntut semangat perpaduan dan kerjasama demi kestabilan negara. Beliau turut menegaskan bahawa pembentukan kerajaan perpaduan selepas Pilihan Raya Umum 2022 merupakan keputusan penting demi memastikan negara terus stabil dalam suasana ekonomi dan geopolitik dunia yang tidak menentu.

“Kita mungkin pernah menjadi musuh politik sebelum ini, tetapi demi rakyat dan kestabilan negara, kita perlu belajar bermusyawarah serta mencari titik persamaan,” katanya. Mohamad Sabu turut menyentuh perkembangan politik semasa di Negeri Sembilan yang menurutnya telah memberi momentum baharu kepada Pakatan Harapan untuk memperkukuhkan sokongan rakyat menjelang pilihan raya akan datang.

Sementara itu Setiausaha Agung Democratic Action Party, Anthony Loke menegaskan kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Menteri Besar, Aminuddin Harun kekal stabil dan akan terus mentadbir negeri itu selepas kemelut politik yang berlaku kebelakangan ini. Menurut Anthony Loke, hasil perbincangan antara pimpinan pusat Pakatan Harapan dan United Malays National Organisation serta Barisan Nasional telah mencapai persefahaman bahawa kerajaan negeri sedia ada akan terus dikekalkan.

“Keputusannya jelas, kerajaan negeri di bawah Datuk Seri Aminuddin Harun kekal terus mentadbir Negeri Sembilan,” katanya disambut sorakan penyokong. Beliau turut menyifatkan kemelut politik yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri kerana berjaya menyatukan pimpinan dan penyokong kerajaan perpaduan di negeri itu. Dalam ucapannya, Anthony Loke menekankan kepentingan ketenangan dan kesetiaan kepada perjuangan parti ketika menghadapi situasi politik yang mencabar.

“Kita mesti ada ketaatan kepada parti dan ketaatan kepada rakyat. Yang paling penting, semua 17 ADUN Pakatan Harapan kekal bersama perjuangan dan tidak berpaling tadah,” katanya. Beliau turut mengulangi pendirian DAP Negeri Sembilan yang menolak sebarang cubaan membentuk “kerajaan tebuk atap” serta menegaskan sokongan penuh kepada Menteri Besar sedia ada. Anthony Loke berkata pengalaman politik sejak tahun 2008 termasuk kejatuhan kerajaan di Perak dan peristiwa “Langkah Sheraton” memberi pengajaran besar kepada pimpinan Pakatan Harapan dalam menghadapi krisis politik.

Menurutnya, kestabilan kerajaan negeri amat penting kerana ia turut memberi kesan kepada kestabilan kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim. Beliau turut menyeru semua wakil rakyat, ahli majlis, ketua kampung dan jentera parti supaya terus bekerja mendekati rakyat serta memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar.

“ADUN mesti balik kawasan, bantu rakyat, selesaikan masalah rakyat dan pastikan keyakinan terhadap Pakatan Harapan terus kukuh,” katanya. Pada masa sama, beliau mengingatkan semua pihak agar menghormati Institusi Diraja Negeri Sembilan dan tidak mencampuri urusan dalaman berkaitan institusi tersebut.

Anthony Loke turut memberi bayangan bahawa pilihan raya negeri boleh berlaku pada bila-bila masa, namun menegaskan Pakatan Harapan akan terus bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan. “Kita kena kekalkan momentum sokongan ini. Sampai masanya kita akan masuk gelanggang dan mendapatkan semula mandat rakyat,” katanya.

Dalam masa yang sama, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Saifuddin Nasution Ismail menegaskan Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan akan terus kekal stabil dan berfungsi di bawah pimpinan Menteri Besar, Aminuddin Harun meskipun berdepan kemelut politik kebelakangan ini. Menurut beliau, pimpinan kerajaan perlu menguruskan situasi politik semasa dengan tenang, penuh kebijaksanaan dan tidak dipengaruhi emosi.

Menurut beliau, pimpinan kerajaan perlu menguruskan situasi politik semasa dengan tenang, penuh kebijaksanaan dan tidak dipengaruhi emosi. “Pimpinan mesti berfikir dengan kepala dingin, mesti ada wisdom dan kebijaksanaan kerana menguruskan perkara seperti ini bukan sesuatu yang mudah,” katanya.

Saifuddin berkata hasil pertemuan antara pimpinan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan telah mencapai keputusan terbaik demi memastikan kestabilan pentadbiran negeri terus terpelihara.

“The bottom line ialah Tok Min akan terus memimpin dan menerajui Kerajaan Negeri Sembilan,” katanya disambut tepukan hadirin. Dalam ucapannya, beliau turut menjelaskan bahawa konsep Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan sebenarnya telah terbentuk lebih awal berbanding Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Katanya, landskap politik negara sejak Pilihan Raya Umum 2008 menunjukkan tiada lagi mana-mana parti politik mampu membentuk kerajaan secara bersendirian, sekali gus menuntut pendekatan politik baharu berasaskan kerjasama.

“Politik sekarang bukan lagi ‘us versus them’, tetapi ‘we are all together’. Pendekatan politik mesti berubah mengikut realiti semasa,” katanya. Beliau turut mengimbau situasi selepas Pilihan Raya Umum 2022 apabila Pakatan Harapan memperoleh 82 kerusi Parlimen dan akhirnya mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan parti lain bagi membentuk kerajaan Persekutuan.

Menurut Saifuddin, keputusan tersebut dibuat demi kestabilan negara dan memastikan pentadbiran dapat diteruskan dengan lebih berkesan. Beliau berkata pengalaman politik yang dilalui sejak beberapa pilihan raya lalu memberi banyak pengajaran kepada pimpinan Pakatan Harapan dalam menghadapi cabaran politik semasa.

Dalam pada itu, beliau turut menghargai sokongan luar biasa penyokong Pakatan Harapan yang hadir pada ceramah berkenaan walaupun notis penganjuran dibuat dalam tempoh singkat. Katanya, semangat dan solidariti rakyat Negeri Sembilan menjadi bukti bahawa keyakinan terhadap kerajaan perpaduan masih kukuh dan terus mendapat sokongan akar umbi.

Turut berceramah malam tadi Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun menyeru seluruh jentera Pakatan Harapan supaya terus memperkukuh saf perjuangan dan bersiap sedia menghadapi kemungkinan pilihan raya dalam masa terdekat. Menurut beliau, kemelut politik yang berlaku di Negeri Sembilan perlu dijadikan pengajaran dan pengalaman penting kepada semua pihak supaya terus kekal tenang serta tidak mudah panik menghadapi cabaran politik.

“Apa yang berlaku ini adalah satu pengajaran kepada kita supaya sentiasa tenang, sabar dan jangan gelabah,” katanya. Bagaimanapun, Aminuddin yang juga dikenali sebagai Tok Min berkata rakyat Negeri Sembilan perlu bersiap sedia kerana situasi politik semasa masih belum benar-benar reda. “Mereka masih tidak puas hati lagi. Statement demi statement dikeluarkan seolah-olah kita terpaksa menerima keadaan itu,” katanya.

Beliau turut mengakui berasa terkejut dan kecewa dengan tindakan menarik sokongan terhadap beliau serta kerajaan negeri yang berlaku tanpa pengetahuan rakan-rakan seperjuangan. “Peristiwa yang berlaku awal pagi tanpa dimaklumkan kepada rakan-rakan lain adalah sesuatu yang cukup di luar pengetahuan kita,” katanya. Namun beliau bersyukur kerana terus menerima sokongan rakyat, penyokong dan pimpinan parti yang mahukan kerajaan negeri terus stabil dan berfungsi dengan baik.

Menurut Aminuddin, fokus utama kerajaan negeri ketika ini adalah memastikan pentadbiran berjalan lancar serta kebajikan rakyat terus diberi perhatian, terutama dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu. “Kita tidak mahu hanya bercakap soal politik semata-mata. Yang penting ialah bagaimana kita boleh mengurangkan beban rakyat,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri sedang meneliti beberapa langkah termasuk penurunan kadar sewa gerai di bawah pihak berkuasa tempatan bagi membantu mengawal harga makanan dan mengurangkan tekanan kos sara hidup. Selain itu, katanya, lebih banyak inisiatif kebajikan dan ekonomi akan diperkenalkan bagi membantu rakyat yang berdepan tekanan ekonomi serta memastikan peluang pekerjaan terus terpelihara. Dalam ucapannya, beliau turut memaklumkan bahawa Negeri Sembilan terus menerima keyakinan pelabur apabila sebuah syarikat baharu menyatakan hasrat untuk melabur di negeri itu.

“Ini menunjukkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan dan pentadbiran negeri masih kukuh,” katanya. Aminuddin turut mengarahkan semua Exco kerajaan negeri, ADUN serta pimpinan parti supaya terus bekerja memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar dan tersusun. “Kita akan serahkan kepada rakyat ketika pilihan raya nanti untuk menentukan siapa yang layak mentadbir negeri ini,” katanya.