Mahkamah Rayuan benar permohonan Majlis Peguam cabar keputusan DNAA Zahid

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan Badan Peguam Malaysia untuk mencabar keputusan pendakwaan yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah Yayasan Akalbudi.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Faizah Jamaludin memutuskan bahawa permohonan Badan Peguam itu bukan bersifat remeh dan ia telah membangkitkan isu-isu yang boleh dipertikaikan yang harus didengar pada peringkat substantif.

Justeru panel hakim memutuskan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak memberikan kebenaran kepada Badan Peguam, dan memerintahkan kes dikembalikan ke Mahkamah Tinggi bagi pendengaran substantif semakan kehakiman.

“Rayuan ini dengan itu dibenarkan.

“Perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 27 Jun 2024 diketepikan,” menurutnya ketika membacakan keputusan mahkamah di Istana Kehakiman hari ini.

Mahkamah yang bersidang bersama hakim, Datuk Lim Hock Leng dan Datuk Nadzarin Wok Nordin menyatakan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman yang difailkan itu turut menimbulkan isu-isu yang boleh dibicarakan.

“Cabaran Badan Peguam (terhadap) kedudukan Peguam Negara dalam menghentikan pendakwaan terhadap responden kedua (Ahmad Zahid) bukanlah sesuatu yang remeh dan ia membangkitkan isu-isu yang boleh dipertikaikan.

“Ini adalah suatu kes yang wajar, jarang berlaku dan luar biasa dan ia mewajarkan satu pendengaran semakan kehakiman penuh berdasarkan merit,” katanya.

Untuk rekod pada 2 Disember 2023, Badan Peguam menamakan Peguam Negara dan Ahmad Zahid selaku responden, memohon perintah supaya keputusan Peguam Negara dibatalkan.

Permohonan itu difailkan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

BACA JUGA Boleh beli petrol lebih 20 liter, LKIM sambut baik keputusan KPDN mudahkan urusan nelayan