“Sewa turun, moratorium pun ada” – UDA diarah bantu peniaga hadapi krisis global

Kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengumumkan tiga inisiatif utama melibatkan pengurangan sewa, moratorium dan bantuan kos utiliti bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terkesan akibat ketidaktentuan ekonomi global.

Langkah itu diumumkan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menyarankan agar UDA Holdings Berhad mengambil pendekatan lebih proaktif dalam membantu peniaga serta usahawan tempatan yang berdepan tekanan kos operasi.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata UDA akan melaksanakan pendekatan “holistik dan berhemah” membabitkan penyewa premis di kompleks beli-belah dan bangunan komersial milik syarikat itu.

Antara bantuan terbesar diumumkan ialah diskaun sewa sehingga 20 peratus bermula Mei hingga Disember 2026.

Menurut beliau, semua penyewa akan menerima pengurangan sewa sebanyak 10 peratus, manakala tambahan 10 peratus lagi diberikan secara bersasar kepada usahawan PMKS menerusi Program Insentif Usahawan UDA.

Selain itu, UDA turut menawarkan moratorium bayaran sewa dengan kaedah lebih fleksibel termasuk membenarkan tunggakan sewa sehingga tiga bulan kepada penyewa yang benar-benar terjejas.

“Kelulusan diberikan berdasarkan penilaian prestasi dan keperluan operasi penyewa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam usaha mengurangkan tekanan kos operasi pula, UDA akan menanggung kenaikan caj perkhidmatan operasi kompleks menerusi inisiatif Utility Cost Relief.

Ia bermaksud penyewa tidak perlu menanggung kenaikan kos utiliti tambahan walaupun berlaku peningkatan kos pengurusan bangunan.

Secara keseluruhan, UDA dijangka menanggung kos sekitar RM12.5 juta bagi melaksanakan kesemua bantuan berkenaan.

Langkah tersebut dilihat sebagai antara usaha kerajaan Madani mengekalkan kelangsungan PMKS ketika dunia masih berdepan ketidaktentuan rantaian bekalan global, tekanan geopolitik dan kenaikan kos import.

Sektor PMKS sebelum ini beberapa kali menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan kos operasi termasuk sewa premis, utiliti dan logistik yang memberi tekanan kepada aliran tunai perniagaan kecil terutama di kawasan bandar utama.

BACA JUGA Usaha penyokong Pas nak bantai PMX makan diri, ramai pula senarai kejayaan Anwar