“Kalau mabuk, jangan pegang stereng”, saran TokTi
Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyuarakan sokongan terhadap cadangan memperketat hukuman ke atas individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol susulan peningkatan kemalangan jalan raya melibatkan golongan tersebut sejak kebelakangan ini.
Menurut Biduanita Negara itu, isu pemanduan mabuk tidak boleh lagi dipandang ringan kerana ia melibatkan keselamatan awam dan nyawa pengguna jalan raya yang lain.
Beliau berkata kerajaan perlu mengambil pendekatan lebih tegas termasuk memastikan individu yang berada di bawah pengaruh minuman keras tidak dibenarkan memandu.
“Kalau hukuman yang berat itu, saya rasa memang perlulah seberat-beratnya sebab ia melibatkan nyawa,” katanya memetik laporan Berita RTMi.
Siti Nurhaliza atau disapa dengan gelaran Tok Ti yang baru dilantik sebagai Ikon Keselamatan Jalan Raya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkata, undang-undang sedia ada juga wajar diperketatkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya memandu dalam keadaan mabuk.
Katanya, tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah boleh menyebabkan orang tidak bersalah menjadi mangsa.
Kebelakangan ini, isu pemanduan di bawah pengaruh alkohol kembali menjadi perhatian susulan beberapa kes kemalangan maut yang mencetuskan kebimbangan orang ramai mengenai tahap keselamatan jalan raya di negara ini.
Pelantikan Siti Nurhaliza sebagai ikon advokasi keselamatan jalan raya dilihat sebahagian usaha JPJ memperluaskan kempen kesedaran awam melalui pengaruh selebriti dan tokoh popular.
Dalam perkembangan lain, penyanyi lagu Cindai itu turut mengesahkan bahawa konsert tradisional yang dinantikan peminat bakal diadakan tahun ini.
Menurutnya, persiapan kini sedang giat dilakukan seiring usaha mempromosikan album tradisional terbaharunya berjudul Gema Bumantara.
BACA JUGA “Sewa turun, moratorium pun ada” – UDA diarah bantu peniaga hadapi krisis global