Zahid puji pimpinan PH, akui penyokong bawah masih keliru
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau memahami sentimen akar umbi yang masih keliru berhubung kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, sesetengah program dianjurkan khusus untuk penyokong dan ahli parti dalam PH, justeru isu jemputan tidak sepatutnya dijadikan polemik.
“Bukan soal dijemput atau tidak dijemput, tetapi crowd itu adalah crowd mereka,” katanya.
Zahid berkata beliau melihat pimpinan tertinggi parti-parti komponen dalam PH memahami situasi semasa serta pendirian yang diambil oleh Umno dan BN dalam kerajaan perpaduan.
Katanya, beliau turut meneliti ucapan pemimpin PH di peringkat pusat dan negeri yang menurutnya menunjukkan kefahaman terhadap kerjasama sedia ada.
“Saya menghargai pemimpin-pemimpin parti dalam PH di peringkat pusat dan negeri,” katanya lagi.
Bagaimanapun, beliau mengakui akar umbi mungkin masih belum mendapat gambaran jelas mengenai pendirian Umno dan BN, sekali gus menyebabkan timbul pelbagai persepsi.
Menurut Zahid, perkara itu wajar difahami kerana penyokong di peringkat bawahan lebih mudah terkesan dengan naratif politik semasa berbanding pimpinan tertinggi yang terlibat secara langsung dalam proses membuat keputusan.
Beliau turut menegaskan bahawa majlis yang diperkatakan itu merupakan program anjuran PH dan sasaran utamanya memang melibatkan penyokong gabungan berkenaan.
BACA JUGA Tiada cadangan, kata Zahid, BN tak mahu tukar MB