ASEAN tak boleh biar wilayah pedalaman terus tertinggal
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan rantau ASEAN tidak boleh membiarkan wilayah terpencil dan kurang membangun terus tercicir ketika dunia sedang berdepan krisis tenaga, perubahan iklim serta ketidaktentuan ekonomi global.
Berucap pada Sidang Kemuncak Khas BIMP-EAGA di Cebu, Filipina hari ini, Anwar berkata Visi BIMP-EAGA 2035 perlu dipacu dengan semangat kebersamaan dan pembangunan yang lebih inklusif demi manfaat rakyat di rantau ini.
Menurut beliau, kerjasama serantau menerusi BIMP-EAGA bukan sekadar platform ekonomi, sebaliknya instrumen strategik bagi merapatkan jurang pembangunan serta memperluas perdagangan, pelaburan dan keterhubungan digital.
“Visi 2035 bukan sekadar dokumen dasar, tetapi cerminan tekad bersama untuk membina sebuah rantau yang lebih berdaya tahan, kompetitif dan manusiawi,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Anwar berkata Malaysia kekal komited memperkukuh kerjasama serantau terutama dalam aspek keterjaminan makanan, pembangunan tenaga lestari dan akses ekonomi kepada komuniti luar bandar serta pedalaman.
Menurutnya, cabaran global ketika ini memerlukan pendekatan lebih bersepadu dan berani antara negara anggota ASEAN.
Justeru, Malaysia menyokong pengukuhan keterhubungan tenaga rentas sempadan termasuk pelaburan dalam tenaga boleh baharu seperti solar dan sistem mini-grid.
Katanya, langkah itu penting supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih adil dan inklusif oleh semua lapisan masyarakat.
“Dengan semangat ASEAN yang terus menyala, kita akan terus menyokong agenda pembangunan yang memuliakan insan, memperkasa masyarakat setempat dan menyemarak masa depan yang lebih sejahtera buat generasi mendatang,” katanya.
BIMP-EAGA merujuk kepada kerjasama sub-serantau melibatkan Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Filipina yang memfokuskan pembangunan kawasan sempadan dan wilayah kurang membangun di rantau ASEAN.