Kerajaan MADANI percepat bantuan pesawah mulai 19 Mei

Kerajaan akan mula menyalurkan bayaran pendahuluan Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) secara berperingkat bermula 19 Mei ini dalam usaha membantu pesawah membuat persiapan awal musim penanaman padi.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata bantuan itu melibatkan pesawah di Semenanjung Malaysia yang berdaftar di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), khususnya bagi musim 1/2026.

Menerusi pelaksanaan baharu itu, pesawah akan menerima bayaran awal RM200 sehektar sebelum atau ketika kerja membajak dimulakan.

“Baki RM100 sehektar pula akan disalurkan selepas kerja pembajakan selesai dan disahkan oleh agensi berkaitan,” menurut kenyataan kementerian hari ini.

Langkah tersebut dilihat sebagai usaha kerajaan Madani mempercepat bantuan kepada pesawah ketika golongan itu terus berdepan peningkatan kos operasi dan cabaran pengeluaran makanan domestik.

Menurut KPKM, pembayaran akan dibuat terus ke akaun bank pesawah berdaftar bagi memastikan proses lebih cepat dan lancar.

Bagi kes tertentu pula, bantuan boleh dituntut secara tunai melalui pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Kementerian berkata pendekatan itu dijangka membantu meningkatkan aliran tunai pesawah selain membolehkan persiapan musim penanaman dilakukan lebih awal tanpa tekanan kewangan berlebihan.

“KPKM yakin langkah ini akan memberi keyakinan kepada komuniti pesawah bahawa Kerajaan MADANI sentiasa mendengar keluhan dan memahami cabaran sebenar di peringkat lapangan,” menurut kenyataan itu.

Kerajaan turut menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara melalui sokongan kepada sektor penanaman padi dan kebajikan pesawah.

Dalam perkembangan sama, KPKM memaklumkan kadar insentif bagi pesawah di Sabah dan Sarawak kekal seperti sedia ada memandangkan kedua-dua negeri masih menikmati subsidi diesel.