Ada penerima bantuan bukan bermakna Selangor gagal – Setpol MB Selangor
Kerajaan Selangor menegaskan kewujudan data eKasih dan penerima bantuan kebajikan tidak boleh dijadikan bukti bahawa kerajaan negeri gagal menangani kemiskinan, sebaliknya ia menunjukkan sistem pengesanan dan intervensi sosial masih berjalan secara aktif.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata kerajaan negeri tidak pernah menafikan masih wujud golongan memerlukan di Selangor, namun pelbagai bantuan dan program kebajikan terus diperkasa bagi membantu rakyat berdepan tekanan kos sara hidup.
Menurut beliau, data seperti eKasih dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu dilihat dalam konteks mekanisme rasmi kerajaan mengenal pasti kelompok rentan dan bukannya dijadikan senjata politik.
“Pendekatan itu membuktikan kerajaan bukan sekadar bercakap soal kebajikan, tetapi melaksanakan intervensi terus kepada rakyat yang terkesan dengan kos sara hidup dan cabaran ekonomi semasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab kritikan Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Azmin Ali yang mempersoalkan dakwaan kemiskinan tegar di Selangor sudah berjaya dinoktahkan.
Azmin sebelum ini mendakwa kenyataan tersebut tidak selari dengan realiti apabila masih terdapat 21,997 ketua isi rumah berdaftar dalam sistem eKasih pada 2024 selain lebih 59,000 penerima bantuan kewangan JKM di negeri itu.
Bagaimanapun Saifuddin menegaskan kerajaan negeri terus melaksanakan pelbagai bentuk bantuan secara konsisten termasuk Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor, Khairat Darul Ehsan, Iltizam Selangor Sihat, Jom Shopping Perayaan dan Skim Mesra Usia Emas.
Menurutnya, bantuan-bantuan tersebut diperkasakan dari semasa ke semasa bagi memastikan golongan rentan tidak tercicir.
Beliau turut berkata kerajaan negeri menjunjung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya agenda pembasmian kemiskinan dan pemerkasaan institusi zakat diberi perhatian secara berterusan.
“Usaha membasmi kemiskinan memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, institusi zakat, agensi berkaitan dan masyarakat.
“Janganlah isu ini dijadikan bahan politik untuk menyerang kerajaan,” katanya lagi.
Pada 29 April lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata isu kemiskinan tegar di Selangor telah berjaya dinoktahkan hasil pelaksanaan pelbagai program pembasmian kemiskinan yang berkesan.
Perkara itu dimaklumkan kepada beliau dalam mesyuarat pembangunan daerah Petaling yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor Amirudin Shari serta beberapa anggota pentadbiran kerajaan Persekutuan dan negeri.