Nak beli rumah tapi ubah fikiran? KPKT kaji mekanisme baru sebelum sign SPA
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang mengkaji pengenalan mekanisme Option to Purchase (OTP) bagi memberi lebih fleksibiliti kepada pembeli dan pemaju hartanah sebelum perjanjian jual beli (SPA) dimeterai.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata cadangan itu akan dimasukkan dalam Rang Undang-Undang Pembangunan Hartanah yang sedang dirangka sebagai sebahagian agenda Reformasi Perumahan MADANI.
Menurut beliau, mekanisme OTP membolehkan kedua-dua pihak menarik diri sebelum SPA ditandatangani tanpa menanggung komitmen kewangan dan undang-undang yang terlalu awal.
“Melalui rang undang-undang ini, kita sedang mengkaji satu perubahan dasar penting dengan memperkenalkan klausa OTP yang memberi fleksibiliti kepada kedua-dua pihak sebelum SPA dilaksanakan,” katanya ketika berucap pada StarProperty Awards 2026 malam tadi.
Nga berkata pendekatan itu juga membantu pemaju menilai permintaan sebenar pasaran dan daya maju projek sebelum pembinaan diteruskan pada skala lebih besar.
Katanya, langkah tersebut dapat mengelakkan situasi pemaju berdepan masalah kewangan apabila jualan projek tidak mencapai sasaran ketika pembinaan sedang berjalan.
Menurut beliau, mekanisme itu secara tidak langsung mampu mengurangkan risiko projek sakit, tertangguh atau terbengkalai selain membantu mengatasi lambakan unit tidak terjual.
Dalam perkembangan sama, Nga berkata sektor hartanah Malaysia mencatat prestasi kukuh sepanjang 2025 dengan nilai transaksi melebihi RM240 bilion, tertinggi dalam tempoh sedekad.
Beliau menyifatkan pencapaian itu sebagai petanda keyakinan pasaran yang semakin pulih susulan kestabilan politik dan keadaan ekonomi yang lebih baik.
Nga turut mendedahkan pasukan petugas khas KPKT berjaya memulihkan lebih 1,500 projek perumahan sakit dan terbengkalai sejak Disember 2022 membabitkan nilai pembangunan kasar melebihi RM140 bilion.
Katanya, pemulihan tersebut memberi manfaat kepada lebih 176,000 pembeli rumah di seluruh negara.
Selain reformasi undang-undang, KPKT juga mempercepat transformasi digital sektor perumahan menerusi platform seperti e-SPA, TEDUH dan Housing Integrated Management System (HIMS).
“Kita ada satu matlamat mudah iaitu mencapai sifar projek sakit menjelang 2030,” katanya.
BACA JUGA ‘Siap sedia hadapi pilihan raya, mereka tak puas hati’ – Tok Min