Sheikh Umar tempelak hantaran sinis individu polemikkan Quranic Madani
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali menegur pihak yang cuba mempolemikkan program Quranic Madani di Bukit Bintang dengan dakwaan kononnya untuk ‘menutup’ kontroversi Rain Rave sebelum ini.
Beliau berkata, tidak semua perkara perlu dilihat melalui lensa persaingan politik atau sentimen kebencian semata-mata sehingga boleh mengeruhkan perbincangan awam.
Menurut beliau, Malaysia dibina atas keseimbangan yang sangat tersendiri di mana Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan Melayu dan Bumiputera dipelihara, dan pada masa sama mengiktiraf kepelbagaian kaum dan agama.
Atas sebab itu kata Sheikh Umar, kita tidak perlu terlalu mudah melatah setiap kali timbul isu yang menyentuh soal agama, bangsa dan budaya hidup masyarakat memandangkan semua ini telah pun digariskan dalam Perlembagaan.
“Bagi saya, kita perlu mempertahankan nilai Islam tanpa menjadi penghukum tak bertauliah yang ekstrim. Kita juga perlu meraikan kepelbagaian. Jangan korbankan kesatuan, kerukunan dan rasa hormat sesama rakyat.
“Hakikatnya, kekuatan Malaysia bukan pada keseragaman, tetapi pada kemampuan mengurus perbezaan dengan damai, matang dan berhemah.
“Negara ini tidak akan stabil jika semua perkara mahu dilihat melalui lensa kemarahan politik dan polarisasi sosial,” ujarnya.
Beliau berpandangan semua pihak perlu lebih bertanggungjawab dalam mengulas sesuatu isu dengan tidak menjadikan setiap perkara sebagai modal politik yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan keyakinan dunia luar terhadap kestabilan negara.
“Malaysia perlu terus bergerak sebagai sebuah negara yang yakin dengan identitinya, terbuka kepada dunia dan pada masa sama tetap berpijak pada nilai serta kerangka Perlembagaan yang menjadi tunjang keamanan negara,” tambahnya lagi.