‘Tiada negara mampu hadap krisis sendirian’ – Anwar gesa ASEAN perkukuh solidariti

Malaysia menegaskan komitmen teguh untuk terus memperkukuh kesepaduan bersama negara-negara ASEAN dalam mendepani tantangan global yang semakin meruncing.

Dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa tiada negara mampu menghadapi kemelut ini secara bersendirian.

Justeru kata beliau, kerjasama kolektif dan perpaduan serantau yang berpaksi pada solidariti ASEAN mesti terus diperkasa.

Malaysia pada masa sama turut menyuarakan sokongan terhadap pemacuan ASEAN Power Grid, pengukuhan mekanisme keselamatan petroleum serantau, serta keperluan memperluas jaringan kerjasama strategik termasuk menerusi ASEAN-GCC-China demi menjamin daya tahan tenaga jangka panjang.

Dalam soal keterjaminan makanan pula, Anwar menyeru ASEAN untuk bertindak lebih tuntas melalui penyelarasan stok kecemasan makanan dan pengukuhan mekanisme simpanan beras APTERR agar rantau ini tidak terus terdedah kepada inflasi makanan dan gangguan bekalan.

Selain itu, keselamatan warga ASEAN di kawasan bergolak turut menjadi keutamaan bersama, kata Anwar.

“Kita mesti memperhebat perkongsian maklumat, kerjasama diplomatik dan mekanisme tindak balas kecemasan demi melindungi kebajikan rakyat ASEAN di luar negara.

“Walhasil, ASEAN harus terus kekal sebagai wahana kestabilan, keterangkuman dan daya tahan serantau dalam dunia yang semakin berantakan dan terpecah dengan persaingan geopolitik,” kata beliau hari ini.

BACA JUGA Sheikh Umar tempelak hantaran sinis individu polemikkan Quranic Madani