Ramai teruja tengok iklan lawat Malaysia terpampang pada tren di Jepun

Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 nampaknya sedang hebat dipromosikan di pelbagai negara antarabangsa.

Perkara ini disedari rakyat Malaysia yang melancong ke negara-negara luar.

Satu laman Facebook pengembaraan berkongsi momen terujanya melihat iklan Tahun Melawat Malaysia yang memaparkan maskot beruang matahari, Wira dan Manja, dipromosikan pada sebuah tren di Jepun.

Ia menulis; “Rakyat mengadu tentang pelancongan Malaysia. Tapi kemudian saya terlihat iklan ini di Jepun”.

Perkongsian itu menarik perhatian orang ramai yang turut berkongsi pengalaman sama melihat kempen pelancongan Malaysia hebat dipromosikan di negara luar.

Mereka berkongsi rasa bangga melihat kempen melawat Malaysia dengan slogan ikonik ‘Malaysia truly Asia’ ditampal di papan-papan iklan LED di serata negara.

Antara negara yang dilihat mempromosikan kempen tersebut termasuklah Jepun, China, Vietnam, Thailand, Australia dan Jerman, berdasarkan perkongsian orang ramai pada posting dimuat naik laman FB berkenaan.

Yes. And Japanese actually said ‘Truly Asia’ when i said i am from Malaysia! Little proud moment there,” komen Wei Yang Lim.

Saw Visit Sabah in Perth, Australia too,” kongsi Teoh ChunFoo.

“Saw in Afghanistan! So proud,” tulis Bos Ku.

Untuk rekod, kerajaan menetapkan sasaran menarik 47 juta pelawat antarabangsa dengan jangkaan pendapatan pelancongan hampir RM100 bilion, menjadi antara unjuran tertinggi dalam sejarah negara.

Lebih RM500 juta diperuntukkan bagi memacu sektor itu termasuk promosi, infrastruktur dan acara antarabangsa dengan sebahagiannya disalurkan khas untuk menjayakan kempen di dalam dan luar negara.