PM umum peruntukan khas lebih RM31 juta naik taraf infrastruktur Pulau Banggi
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan khas Kerajaan MADANI bernilai lebih RM31 juta untuk menaik taraf infrastruktur asas untuk penduduk di Pulau Banggi, pulau terbesar di Malaysia.
Peruntukan itu meliputi projek menaik taraf jalan dan jambatan di beberapa kampung termasuk Kampung Limbuak Laut, Kapitangan, Damaran dan Bayangan Laut.
Ia juga melibatkan projek menaik taraf Balai Polis Pulau Banggi; menambah baik Klinik Kesihatan Karakit; menaik taraf asrama sekolah di Banggi dan Balambangan; dan menaik taraf Jeti Awam Karakit kepada Terminal Feri.
Selain itu Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan tambahan RM2.25 juta bagi beberapa projek baharu.
Ia merangkumi RM1.25 juta untuk program pendidikan, pengupayaan institusi, teknologi hijau, kesihatan dan pembangunan insan di bawah Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
RM1 juta untuk naik taraf jeti di Kampung Dogoton bagi manfaat penduduk kampung serta agensi penguatkuasaan
“Insya-Allah, ikhtiar ini bukan sekadar menambah baik kemudahan asas, tetapi memastikan rakyat di pulau terpencil ini menikmati pembangunan yang lebih adil, selesa dan bermaruah.
“Terpencil tetapi tidak sesekali terpinggir. Itu janji saya,” katanya hari ini.
