Ibu bimbing anak tangani fitnah dan propaganda media sosial – Azli Yusof

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Pelancaran Sukarelawan Wanita Shah Alam & Hi-Tea Hari Ibu 2026 “Cinta Dari Rahim Kasih Tanpa Syarat” oleh YB Azli Yusof Ahli Parlimen Sah Alam di Sungai Renggam Convention Center, Shah Alam, Selangor. 9hb Mei 2026 (Sabtu)

Usaha memperkasakan wanita dan memperkukuhkan jaringan komuniti terus dipergiat menerusi Majlis Perasmian Pelancaran Sukarelawan Wanita Shah Alam dan Hi-Tea Hari Ibu 2026 bertemakan “Cinta Dari Rahim: Kasih Tanpa Syarat” yang disempurnakan oleh Azli Yusof di Sungai Renggam Convention Center, Sabtu.

Program anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Shah Alam itu menjadi platform rasmi pelancaran gerakan komuniti Sukarelawan Wanita Shah Alam yang bertujuan memperkukuh penglibatan wanita dalam aktiviti kesukarelawanan, pembangunan komuniti serta program sosial secara lebih tersusun dan menyeluruh.

Dalam ucapannya, Azli berkata wanita memainkan peranan penting bukan sahaja sebagai tunjang institusi keluarga, malah sebagai penggerak utama masyarakat dan agen perubahan dalam membina komuniti yang lebih progresif, penyayang dan saling membantu.

Menurut beliau, pembangunan wanita tidak seharusnya dilihat sebagai agenda bermusim, sebaliknya perlu diberi perhatian secara berterusan menerusi peluang penyertaan, latihan dan sokongan komuniti yang kukuh.

“Pembangunan wanita bukan sekadar slogan atau program bermusim. Kita mahu melihat lebih ramai wanita diberi ruang, peluang dan sokongan untuk terlibat secara aktif dalam masyarakat serta menjadi agen perubahan dalam komuniti,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pelancaran Sukarelawan Wanita Shah Alam merupakan langkah penting dalam membina ekosistem komuniti wanita yang lebih mampan melalui jaringan sokongan sosial, pendidikan komuniti dan pembangunan diri.

“Kita mahu bina satu ekosistem komuniti yang kuat. Bila wanita saling menyokong, saling membimbing dan bergerak bersama, impaknya bukan sahaja kepada keluarga tetapi kepada seluruh masyarakat,” ujar beliau lagi.

Beliau turut menyeru para ibu supaya memainkan peranan penting dalam membimbing anak-anak menghadapi cabaran media sosial dan lambakan maklumat yang tidak tepat.

“Kita perlu mendidik anak-anak agar menilai maklumat dengan bijak dan tidak mudah terpengaruh dengan fitnah, propaganda atau kandungan yang boleh menggugat keharmonian masyarakat serta negara,” katanya lagi.

Program berkenaan turut diserikan dengan sesi perkongsian inspirasi oleh Nazirah Abu Bakar dan Elly Mazlein yang menyentuh mengenai kasih sayang, kekuatan wanita serta peranan komuniti dalam membantu golongan memerlukan.

Selain meraikan sambutan Hari Ibu, majlis itu turut menjadi medan menghubungkan wanita daripada pelbagai latar belakang bagi membina jaringan komuniti yang lebih positif, inklusif dan berdaya tahan. Turut hadir ialah Siti Faridah Abd Samad bersama pimpinan serta aktivis komuniti wanita sekitar Shah Alam.

Sementara itu Ketua Wanita Prihatin, Zarina Dzulkupli berkata, program tersebut bukan sekadar sambutan Hari Ibu, sebaliknya membawa mesej bahawa kasih sayang wanita mampu diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat besar kepada masyarakat.

Menurut beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Wanita Prihatin Shah Alam merangkap Pengarah Program, wanita mempunyai potensi besar untuk memainkan peranan aktif dalam membina komuniti yang lebih prihatin, penyayang dan saling membantu.

“Kita tidak hanya mahu wanita yang caring tetapi wanita yang contributing kepada masyarakat. Apabila wanita dihubungkan dalam komuniti yang positif, mereka mampu berkembang dan memberi manfaat kepada orang lain,” katanya ketika berucap sempena majlis berkenaan.

Pelancaran Sukarelawan Wanita Shah Alam yang disempurnakan oleh Puan Siti Faridah Abd Samad CEO Wanita Berdaya Selangor (WBS) diwujudkan sebagai satu platform untuk menghubungkan wanita daripada pelbagai latar belakang agar dapat bersama-sama menyumbang kepada masyarakat melalui aktiviti kesukarelawanan yang lebih tersusun dan berimpak.

Tambahnya, inisiatif tersebut turut membuka ruang kepada wanita untuk membangunkan potensi diri, memperkukuhkan jaringan sokongan komuniti serta meningkatkan semangat kebersamaan dalam membantu golongan memerlukan.

Melalui gerakan Sukarelawan Wanita Shah Alam, lebih ramai wanita diharapkan dapat tampil memainkan peranan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan sekali gus menjadi sebahagian daripada komuniti yang membawa impak positif kepada masyarakat setempat.