Selangor kekal bersih tanpa skandal rasuah Menteri Besar Sejak 2008

FOTO BERITA: Ceramah Isu Semasa PH Selangor DUN Taman Templer bersama YB Sany Hamzan, YB Abbas Azmi. YB Anfaal Saati, YB Chua Wei Kiat, Tuan Ahmad Zahiri di Dataran Ilmu Bandar Baru Selayang,, Tuan Ahmad Zahiri Selangor. 9hb Mei 2026 (Sabtu)

Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan menegaskan Kerajaan Perpaduan dan Pakatan Harapan Selangor perlu terus dipertahankan kerana berjaya membawa pelbagai manfaat serta program kebajikan kepada rakyat tanpa mengira kaum dan fahaman politik. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah dalam Program Ceramah Isu Semasa PH Selangor DUN Taman Templer di Dataran Ilmu Bandar Baru Selayang malam tadi.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Abbas Azmi; Ahli Dewan Negeri Taman Templer, Anfaal Saari; Ahli Dewan Negeri Rawang, Chua Wei Kiat serta pimpinan tempatan lain. Dalam ucapannya, Sany berkata Selangor membuktikan kemampuan kerajaan negeri mentadbir secara berintegriti sejak 2008 tanpa terpalit dengan skandal rasuah melibatkan Menteri Besar.

“Selangor ini negeri kaya. Sebanyak 26 peratus ekonomi negara datang daripada Selangor. Tetapi sepanjang Pakatan Harapan mentadbir, tidak ada seorang pun Menteri Besar yang disabitkan dengan rasuah atau songlap duit rakyat,” katanya. Menurut beliau, kerajaan negeri turut memperluaskan pelbagai inisiatif kebajikan menerusi program Insentif Selangor Penyayang yang kini meningkat daripada tujuh program ketika awal pentadbiran kepada hampir 47 inisiatif. Katanya, bantuan tersebut diberikan kepada rakyat tanpa mengira latar belakang politik.

“Kita tidak pernah tanya rakyat ini penyokong UMNO, PAS, DAP atau PKR. Selagi mereka rakyat Selangor, mereka layak menikmati bantuan dan kemudahan yang diberikan kerajaan negeri,” katanya. Dalam pada itu, beliau turut menolak dakwaan kononnya Kerajaan Perpaduan mengabaikan Islam dan institusi raja Melayu. Menurutnya, kerajaan hari ini terus memperkukuh syiar Islam menerusi pembinaan masjid, surau, sekolah agama, KAFA dan pusat tahfiz selain meningkatkan peruntukan pembangunan Islam.

“Tahun lalu kerajaan persekutuan meluluskan RM2 bilion untuk pembangunan Islam dan tahun ini meningkat kepada RM2.6 bilion. Ini bukti kerajaan Madani tidak pernah mengabaikan Islam,” katanya. Beliau turut mengkritik pihak tertentu yang didakwa memainkan sentimen agama, kaum dan institusi diraja bagi meraih sokongan politik. “Kita boleh menang pilihan raya dengan memainkan sentimen perkauman dan kebencian, tetapi apa makna kemenangan itu jika rakyat hidup berpecah-belah dan negara tidak aman?” katanya.

Sany turut menyeru jentera Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan memperkukuh gerak kerja menjelang Pilihan Raya Umum akan datang bagi memastikan Selangor terus kekal di bawah pentadbiran kerajaan sedia ada. “Kita kena turun padang, dekati rakyat dan jawab segala fitnah dengan fakta serta kerja buat kita kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu YB Abbas Azmi ADUN Seri Serdang, menegaskan rakyat Selangor perlu terus mempertahankan Kerajaan Perpaduan dan Pakatan Harapan demi memastikan kesinambungan pembangunan serta kebajikan rakyat di negeri itu. Menurut Abbas, Selangor kekal sebagai negeri maju hasil kestabilan pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

“Kita telah sampai ke penghujung penggal pentadbiran kali ini dan Alhamdulillah Selangor terus stabil serta membangun. Banyak kejayaan dan kemajuan yang telah kita capai untuk rakyat,” katanya. Beliau turut mengakui bahawa Pakatan Harapan sebelum ini terpaksa bekerjasama dengan Barisan Nasional selepas Pilihan Raya Umum ke-15 demi kestabilan negara dan bagi memastikan Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri. Menurutnya, sepanjang tempoh itu, Perikatan Nasional didakwa terus memainkan sentimen politik, fitnah dan propaganda bagi memecah-belahkan rakyat Selangor.

“Fitnah ini lebih besar daripada membunuh. Mereka menyerang dan memfitnah kerajaan negeri walaupun pelbagai bantuan telah diberikan kepada rakyat sejak sekian lama,” katanya. Abbas berkata, Kerajaan Negeri Selangor telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan kebajikan kepada rakyat merangkumi semua peringkat kehidupan. Abbas berkata, Kerajaan Negeri Selangor telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan kebajikan kepada rakyat merangkumi semua peringkat kehidupan.

“Apa yang kerajaan Selangor tidak beri kepada rakyat? Daripada lahir sampai meninggal dunia, ada sahaja bantuan yang disediakan kerajaan negeri,” katanya. Beliau turut membandingkan pencapaian Selangor dengan beberapa negeri pembangkang yang menurutnya gagal menyediakan kemudahan asas secara konsisten kepada rakyat. “Kita di Selangor ada bantuan air percuma, tetapi ada negeri lain percuma pun tidak ada air,” katanya secara sinis. Dalam pada itu, Abbas menyeru jentera Pakatan Harapan untuk bekerja keras merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri Kuang pada pilihan raya akan datang.

“Kita kena pastikan kerusi yang dirampas Perikatan Nasional dikembalikan semula kepada Pakatan Harapan demi rakyat Selangor,” katanya. Beliau turut menyentuh isu kekecohan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor sebelum ini yang menyaksikan beberapa wakil rakyat pembangkang diarah keluar dewan. Menurutnya, tindakan itu bukan disebabkan mereka mempertahankan institusi diraja, sebaliknya kerana gagal mematuhi peraturan dewan dan bersikap biadab terhadap Speaker. “Mereka dibuang dari dewan bukan sebab mempertahankan titah Tuanku, tetapi kerana kebiadaban terhadap Speaker Dewan,” katanya lagi.