PH Selangor fokus kebajikan rakyat, tolak politik fitnah — Anfaal Saari

FOTO BERITA: Ahli Dewan Negeri (ADUN) Taman Templer, Anfaal Saari menegaskan kestabilan politik di Selangor sejak 2008 menjadi faktor utama kejayaan kerajaan negeri melaksanakan pelbagai agenda kebajikan dan pembangunan rakyat secara berterusan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah sempena Program Ceramah Isu Semasa PH Selangor DUN Taman Templer di Dataran Ilmu Bandar Baru Selayang malam tadi. Menurut beliau, Selangor kekal sebagai negeri paling stabil di bawah pentadbiran Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan, sekali gus membolehkan tumpuan diberikan kepada pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

“Sejak 2008, Selangor kekal stabil di bawah Pakatan Rakyat, Pakatan Harapan dan kini Kerajaan Perpaduan. Kita mahu kestabilan ini diteruskan kerana Selangor adalah enjin ekonomi Malaysia,” katanya. Anfaal berkata, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari sentiasa proaktif dalam menangani isu rakyat termasuk cabaran ekonomi dan konflik global yang memberi kesan kepada negara. Beliau berkata Selangor baru-baru ini mengumumkan Pakej Daya Tahan Ekonomi bernilai RM131 juta sebagai langkah membantu rakyat menghadapi cabaran semasa.

“Negeri lain ada umum pakej bantuan juga, tetapi Selangor mengumumkan RM131 juta dan Menteri Besar menyatakan usaha akan diteruskan sehingga pakej itu mencecah RM500 juta melalui sokongan syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya. Dalam ucapannya, beliau turut mengkritik pendekatan pembangkang yang didakwa sering memainkan sentimen agama, kaum dan institusi diraja bagi meraih sokongan politik.

“Kita di Selangor mahu fokus kepada kerja buat dan kebajikan rakyat, bukan berpolitik setiap hari dengan memainkan fitnah dan sentimen 3R,” katanya. Anfaal turut menolak dakwaan kononnya kerajaan negeri menghalang pembangunan Islam di Selangor. Menurutnya, beberapa projek pembinaan masjid di kawasan Taman Templer kini berjalan lancar termasuk Masjid Selayang Mutiara dan Masjid Kampung Selayang Pandang selepas pelbagai isu teknikal berjaya diselesaikan.

“Bila saya jadi wakil rakyat, saya panggil semua pihak berkaitan untuk kenal pasti masalah sebenar. Sekarang kelulusan merancang sudah diperoleh dan proses pembinaan sedang diteruskan,” katanya. Beliau turut memaklumkan projek perumahan terbengkalai Apartment Kristal yang tergendala selama 22 tahun kini kembali diteruskan hasil kerjasama kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

Katanya, kerajaan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyalurkan RM41 juta kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor bagi memastikan projek itu dapat disiapkan menjelang Mei 2027. “Ramai pemilik rumah menangis kegembiraan apabila projek ini dimulakan semula. Ini bukti kerajaan tidak duduk diam dan terus bekerja untuk rakyat,” katanya.

Dalam masa yang sama, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat menegaskan Selayang kekal menjadi antara kubu kuat Pakatan Harapan (PH) di Selangor hasil gerak kerja berterusan serta keyakinan rakyat terhadap prestasi kerajaan negeri dan Persekutuan. Menurut beliau, Selayang dipilih sebagai lokasi awal siri ceramah PH Selangor kerana kawasan itu masih berada pada tahap kukuh untuk dipertahankan menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

“Selayang masih berada di tahap gred A untuk kita menang. Pimpinan Pakatan Harapan yakin jentera di Selayang mampu memberikan mobilisasi terbaik dan menjadi permulaan kuat untuk menghadapi pilihan raya,” katanya. Chua berkata, kepimpinan PH di Selangor lebih menumpukan kepada kerja pentadbiran dan pembangunan berbanding bermain politik sepanjang masa seperti yang didakwa dilakukan pihak pembangkang.

Katanya, pelbagai isu infrastruktur yang lama dibangkitkan wakil rakyat PH kini berjaya diselesaikan termasuk pemasangan lampu jalan serta projek pelebaran jalan utama menghubungkan Rawang dan Selayang. “Dulu dalam sidang Dewan Negeri, isu lampu jalan dan kesesakan sering dibangkitkan. Hari ini kita dapat lihat hasilnya apabila pelbagai projek mula dilaksanakan,” katanya. Beliau turut menjelaskan pembangunan pesat di Rawang ketika ini menjadi bukti kejayaan usaha kerajaan negeri dan Persekutuan menarik pelaburan asing ke Selangor.

Menurutnya, kemasukan pelabur luar membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada anak muda tempatan sekali gus mengurangkan penghijrahan tenaga kerja ke Kuala Lumpur dan Singapura. “Dulu ramai anak muda Rawang terpaksa keluar bekerja di Kuala Lumpur atau Singapura untuk mendapatkan gaji lebih baik. Hari ini kita sudah nampak peluang pekerjaan berkualiti diwujudkan di Rawang sendiri,” katanya.

Chua berkata, hasil usaha kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mula menunjukkan kesan positif terhadap ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Beliau turut membandingkan kestabilan ekonomi Malaysia dengan beberapa negara jiran yang berdepan tekanan harga bahan api dan ketidaktentuan ekonomi global. “Walaupun dunia sedang berdepan pelbagai konflik dan cabaran ekonomi, rakyat Malaysia masih menikmati kestabilan harga bahan api dan keadaan ekonomi yang terkawal,” katanya.