Lokman ‘bedil’ Jalaluddin: Letak jawatan, jangan rosakkan masa depan Umno

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam secara lantang menyarankan agar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias meletakkan jawatan.

Lokman menegaskan bahawa tindakan Jalaluddin menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bukan sahaja menjejaskan hubungan dengan rakan dalam Kerajaan Perpaduan, malah menyebabkan masyarakat Cina dan India semakin hilang kepercayaan terhadap Umno.

“Hari ini orang Cina dan India tak percayakan Umno lagi akibat daripada apa yang berlaku di Negeri Sembilan.

“Nak suruh saya berpura-pura bahawa tindakan ini menggambarkan prinsip? Saya tak tahu bermuka-muka macam itu,” tegasnya dalam satu klip video yang tersebar di media sosial.

Beliau berpendapat kemelut di Negeri Sembilan telah merosakkan masa depan Umno dan parti itu perlu berani mengakui kesilapan yang dilakukan.

“Bagi saya apa yang berlaku di Negeri Sembilan merosakkan masa depan Umno. Kita mesti terima hakikat. Kena mengakulah kita silap.

“Cara pertama nak perbetulkan, Jalal kena letak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan,” ujarnya.

Lokman turut mendakwa Jalaluddin lebih mementingkan kepentingan sendiri berbanding mematuhi arahan kepimpinan tertinggi parti.

Katanya, dalam apa jua krisis, rujukan utama Umno sepatutnya ialah Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bukannya tokoh-tokoh lain.

“Tak boleh simpan orang macam ini. Pentingkan diri sendiri.

“Sepatutnya, berlaku krisis bagaimana sekalipun, sumber rujukannya adalah Presiden Umno, bukan Ismail Sabri, Shahidan Kassim atau Annuar Musa,” tegasnya.

BACA JUGA ‘Banyak lagi yang kita hendak ambil alih dari Kerajaan Persekutuan’