Resah Melayu jangan jadi marah – Zahid mahu Musyawarah Nasional jadi ‘makmal fikir bangsa’
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu Musyawarah Nasional dijadikan sebagai “Makmal Pemikir Bangsa” bagi mencari penyelesaian terhadap keresahan masyarakat Melayu yang menurutnya semakin dirasai dalam pelbagai lapisan rakyat ketika ini.
Menurut Zahid, platform itu tidak seharusnya sekadar menjadi tempat meluahkan rasa tidak puas hati, sebaliknya mesti menghimpunkan fakta, data, pengalaman dan keberanian politik untuk merangka jalan keluar terhadap cabaran bangsa Melayu.
“Musyawarah Nasional bukan sekadar medan membawa keluhan.
“Ia mesti menjadi ruang menguji fakta, memisahkan persepsi daripada realiti dan merumuskan tindakan terhadap keresahan orang Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Musyawarah Nasional bertemakan “Keresahan Bangsa Melayu: Apakah Penyelesaiannya” di Kuala Lumpur.
Zahid berkata keresahan Melayu hari ini bukan muncul secara tiba-tiba, tetapi terbentuk hasil tekanan berpanjangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuk perubahan politik selepas 2018, kesan ekonomi pasca pandemik COVID-19, konflik geopolitik dunia dan perkembangan pesat teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) serta automasi.
Katanya, perubahan besar itu memberi kesan terhadap emosi, keyakinan dan persoalan masa depan bangsa Melayu di tanah air sendiri.
“Namun apabila kita bercakap tentang keresahan Melayu, jangan sesekali disalah tafsir sebagai penolakan terhadap perpaduan.
“Ini bukan soal perkauman, tetapi soal tanggungjawab terhadap bangsa teras yang menjadi antara tunjang kestabilan negara,” katanya lagi.
Presiden Umno itu turut mengingatkan bahawa cabaran baharu tidak boleh terus ditangani menggunakan pendekatan lama.
Menurut beliau, perubahan ekonomi, teknologi dan cara fikir rakyat memerlukan strategi baharu supaya masyarakat Melayu tidak terus ketinggalan.
“Bangsa ini tidak boleh terus menjawab masalah baharu dengan pendekatan lama,” katanya.
Dalam masa sama, Zahid menegaskan keresahan Melayu tidak boleh dimanipulasi menjadi kebencian atau modal politik sempit sehingga menjejaskan keharmonian negara.
Sebaliknya, katanya, keresahan tersebut perlu diurus dengan ilmu, hikmah dan keberanian supaya ia menjadi pemangkin perubahan yang positif.
“Resah itu jangan menjadi marah, tetapi mesti berubah menjadi arah,” katanya.
Musyawarah Nasional yang julung kali diadakan itu menghimpunkan kira-kira 2,000 peserta terdiri daripada tokoh masyarakat, ilmuwan, ulama, ahli akademik, NGO, profesional, seniman, pempengaruh dan pemain industri Melayu-Islam.
Platform itu diwujudkan bagi membina kesepakatan dasar serta merangka cadangan penyelesaian terhadap isu strategik masa depan bangsa Melayu dan negara berasaskan pendekatan Maqasid Syariah, pembangunan insan dan kesejahteraan ekonomi.