Hampir 2,000 usahawan India nikmati pembiayaan MUDRA
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memaklumkan hampir 2,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) komuniti India di seluruh negara telah menerima kelulusan pembiayaan di bawah Pakej Modal Usahawan dan Rangsangan Ekonomi India 2026 (MUDRA).
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata setakat ini sebanyak RM70 juta pembiayaan telah diluluskan menerusi pakej tersebut yang dilancarkan bulan lalu dengan nilai keseluruhan melebihi RM220 juta.
Menurut beliau, inisiatif itu mencerminkan komitmen Kerajaan Madani dalam memastikan pembangunan ekonomi yang lebih inklusif terutama melibatkan komuniti India dan usahawan kecil.
“Kerajaan mahu memastikan usahawan kecil tidak tercicir daripada arus pembangunan ekonomi negara.
“Melalui agensi seperti TEKUN Nasional, akses kepada pembiayaan dapat dipermudah supaya lebih ramai rakyat mampu memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Karnival Jualan serta Sesi Libat Urus Usahawan MAICCI bersama agensi KUSKOP sempena sambutan Hari Ibu di Pulau Pinang hari ini.
Program anjuran Malaysian Associated Indian Chambers of Commerce and Industry (MAICCI) itu menghimpunkan kira-kira 30 usahawan tempatan dan 10 reruai agensi di bawah KUSKOP.
Acara tersebut turut menjadi platform jaringan, khidmat nasihat serta peluang pembiayaan kepada usahawan PMKS setempat.
Dalam majlis sama, Steven Sim turut menyerahkan cek cura kepada tiga usahawan yang menerima pembiayaan mikro menerusi Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) di bawah TEKUN Nasional.
Mereka ialah Komalatha G Raman dari Jelutong yang menerima pembiayaan RM100,000 bagi perniagaan Megas Enterprise, Vengadeswary Subramaniam dari Nibong Tebal menerima RM20,000 untuk Vnz Classy Beauty dan Amutha Nadaraja dari Nibong Tebal menerima RM18,000 bagi Nst Amutha Enterprise.
Steven Sim berkata pengukuhan ekosistem keusahawanan penting bukan sahaja untuk meningkatkan pendapatan rakyat tetapi juga membantu mewujudkan peluang pekerjaan baharu.
Menurut beliau, TEKUN Nasional terus memainkan peranan sebagai rakan strategik kerajaan dalam menyediakan akses pembiayaan mudah kepada usahawan mikro terutama ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan krisis bekalan global.
Katanya, KUSKOP akan terus memperkukuh agenda pembangunan usahawan kecil dan mikro selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani untuk membina ekonomi lebih mampan dan inklusif.