Iran dah tak sabar? Selat Hormuz kini jadi titik panas dunia

Iran memberi amaran keras kepada Amerika Syarikat (AS) bahawa era “menahan diri” sudah berakhir, ketika ketegangan di Asia Barat terus memuncak susulan konflik maritim di Selat Hormuz.

Jurucakap Jawatankuasa Dasar Luar dan Keselamatan Nasional Parlimen Iran, Ebrahim Rezaei berkata, sebarang serangan terhadap kapal Iran selepas ini akan dibalas secara “berat dan tegas” terhadap kapal serta pangkalan tentera AS di rantau Teluk.

“Mulai hari ini, kami tidak lagi akan berdiam diri,” katanya menerusi hantaran di platform X pada Ahad.

Beliau turut mendakwa “masa semakin suntuk terhadap kepentingan Amerika”, selain menggesa Washington supaya “mengalah dan menyesuaikan diri dengan aturan baharu rantau itu”.

Kenyataan tersebut hadir ketika ketegangan antara Tehran dan Washington memasuki fasa lebih berbahaya sejak serangan bersama AS dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari lalu.

Serangan itu mencetuskan tindak balas Iran terhadap Israel dan sekutu-sekutu AS di Teluk, selain membawa kepada penutupan Selat Hormuz laluan strategik yang menjadi nadi perdagangan minyak dunia.

Walaupun gencatan senjata dicapai pada 8 April melalui usaha mediasi Pakistan, rundingan lanjut di Islamabad gagal menghasilkan penyelesaian berkekalan.

Presiden AS, Donald Trump kemudian mengumumkan lanjutan gencatan senjata tanpa menetapkan tarikh tamat, bagi membuka ruang diplomasi menuju penyelesaian kekal.

Namun keadaan kembali tegang apabila AS mula melaksanakan sekatan laut terhadap trafik maritim Iran di Selat Hormuz sejak 13 April lalu.

Penganalisis melihat kenyataan Tehran itu sebagai isyarat bahawa Iran kini bersedia menggunakan tekanan ketenteraan dan ekonomi secara lebih terbuka sekiranya sekatan AS diteruskan.

Selat Hormuz dianggap antara laluan tenaga paling penting dunia dengan sebahagian besar eksport minyak global melalui kawasan tersebut setiap hari.

Sebarang konflik terbuka di laluan itu dijangka memberi kesan langsung terhadap harga minyak dunia, rantaian bekalan global dan ekonomi negara-negara pengimport tenaga termasuk di Asia Tenggara.

BACA JUGA Lokman ‘bedil’ Jalaluddin: Letak jawatan, jangan rosakkan masa depan Umno