Bos sebenar politik Thailand dah kembali – Elit konservatif mula resah

Selepas hampir dua dekad menjadi figura paling kontroversi dalam politik Thailand, bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra dijangka dibebaskan lebih awal dari penjara Isnin ini perkembangan yang kembali menggegarkan arena politik negara itu.

Pembebasan secara parol tokoh jutawan berusia 76 tahun itu dilihat berpotensi membuka semula pengaruh politik keluarga Shinawatra yang sekian lama menjadi pencabar utama kepada kelompok elit konservatif, tentera dan institusi monarki Thailand.

Bagaimanapun, beliau masih perlu memakai alat pemantauan elektronik sepanjang tempoh percubaan selama empat bulan.

Pembebasan awal Thaksin dilihat bukan sekadar isu undang-undang, tetapi turut membawa implikasi besar terhadap landskap politik Thailand yang sejak dua dekad lalu berdepan pertembungan antara kem Shinawatra dan golongan elit konservatif pro-tentera serta pro-monarki.

Bagi penyokongnya, kepulangan semula Thaksin ke ruang politik dianggap sebagai “nafas baharu” kepada parti Pheu Thai yang semakin merosot pengaruhnya selepas pilihan raya Februari lalu.

Pensyarah sains politik, Wanwichit Boonprong berkata ramai penyokong percaya “pemilik sebenar Pheu Thai telah kembali”.

Parti Pheu Thai yang diasaskan keluarga Shinawatra pernah menjadi antara kuasa politik paling dominan di Thailand dengan memenangi beberapa pilihan raya umum menerusi pendekatan populis yang mendapat sokongan besar masyarakat luar bandar.

Keluarga Shinawatra sendiri telah melahirkan empat Perdana Menteri termasuk Thaksin dan anaknya, Paetongtarn Shinawatra.

Namun, prestasi buruk Pheu Thai dalam pilihan raya terakhir menyebabkan ramai mula mempersoalkan sama ada era penguasaan keluarga itu sudah berakhir.

Ironinya, kemerosotan tersebut berlaku ketika Pheu Thai kini menjadi sebahagian daripada kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri konservatif, Anutin Charnvirakul.

Situasi itu mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai kemungkinan wujud “perdamaian politik” antara kem Shinawatra dan golongan elit konservatif Thailand selepas bertahun-tahun bertelagah.

Thaksin sebelum ini digulingkan menerusi rampasan kuasa tentera pada 2006 sebelum hidup dalam buangan selama lebih 15 tahun.

Beliau pulang ke Thailand pada Ogos 2023 dan terus dijatuhi hukuman penjara lapan tahun atas beberapa kes rasuah dan salah guna kuasa.

Namun hukuman tersebut kemudian dikurangkan kepada setahun menerusi pengampunan diraja.

Sepanjang menjalani hukuman, Thaksin ditempatkan di hospital atas alasan kesihatan — perkara yang mencetuskan kritikan serta tuduhan beliau menerima layanan istimewa.

Mahkamah Agung Thailand kemudian memutuskan tempoh rawatan di hospital tidak boleh dianggap sebagai sebahagian daripada hukuman penjara kerana beliau tidak mengalami masalah kesihatan kritikal.

Susulan keputusan itu, Thaksin kembali menjalani hukuman penjara sebelum akhirnya diluluskan pembebasan awal bersama lebih 850 banduan lain.

Dalam perkembangan berkaitan, anak Thaksin, Paetongtarn berkata keluarganya tidak membincangkan soal politik ketika bertemu beliau di penjara baru-baru ini.

“Kami hanya bercakap tentang keluarga,” katanya kepada media Thailand.

Bagaimanapun, pemerhati politik percaya pembebasan Thaksin bakal kembali menghangatkan politik Thailand terutama ketika negara itu masih bergelut dengan ketidakstabilan politik dan perebutan pengaruh antara elit konservatif, tentera dan blok reformis.

BACA JUGA Iran dah tak sabar? Selat Hormuz kini jadi titik panas dunia