Jangan guna nama mahasiswa untuk agenda sendiri : AMK tempelak  MKM

 Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia membidas tindakan beberapa individu yang didakwa menggunakan platform Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) untuk membawa agenda politik peribadi sehingga mencetuskan kekeliruan terhadap kepimpinan parti dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan AMK Malaysia, Danish Hairudin berkata kenyataan media yang tular atas nama MKM itu tidak pernah dibincangkan atau diputuskan secara kolektif dalam kalangan pimpinan serta jaringan organisasi mahasiswa berkenaan di seluruh negara.

Menurut beliau, maklum balas awal yang diterima turut menunjukkan ramai pimpinan serta pengerusi MKM kampus universiti tampil menafikan kenyataan tersebut sebagai pendirian rasmi organisasi.

“Hakikatnya, kenyataan tersebut bukan sahaja tidak melalui proses organisasi yang teratur malah perkara ini juga telah dijawab secara tegas oleh Setiausaha Agung MKM serta pimpinan dan pengerusi-pengerusi MKM kampus universiti seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata keadaan itu membuktikan tindakan tersebut hanya dilakukan oleh “beberapa kerat individu” dan tidak mewakili suara majoriti mahasiswa KEADILAN.

Dalam masa sama, Danish berkata ramai warga MKM sendiri telah tampil secara terbuka menyatakan bantahan terhadap tindakan berkenaan yang dianggap bercanggah dengan semangat asal gerakan mahasiswa.

AMK turut menegaskan bahawa MKM bukan sayap rasmi parti dan tidak ditadbir secara langsung oleh KEADILAN.

Menurut Danish, sejak awal penubuhannya, MKM diberikan ruang autonomi dan kebebasan selaras dengan prinsip gerakan mahasiswa yang bebas dan matang.

Bagaimanapun, katanya kebebasan tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan sabotaj dalaman atau mencipta persepsi politik tertentu.

“Kebebasan itu tidak boleh digunakan untuk melakukan sabotaj dalaman, mencipta persepsi murahan dan memperalatkan nama organisasi bagi memenuhi percaturan politik individu tertentu,” katanya.

Beliau berkata AMK percaya majoriti anak muda dan mahasiswa masih memahami disiplin organisasi serta tanggungjawab moral dalam membawa suara rakyat.

Katanya, fokus utama ketika ini sepatutnya tertumpu kepada usaha memperkukuh suara anak muda untuk membina masa depan negara dan bukannya dijadikan alat permainan politik sempit.

Kontroversi itu tercetus selepas satu kenyataan media atas nama MKM tersebar dan mencetuskan polemik berkaitan pendirian organisasi mahasiswa tersebut terhadap kepimpinan parti serta kerajaan.

BACA JUGA Lepas 20 tahun baru naik, MITRA kini masuk ‘fasa baharu’