Selangor lebih ke hadapan dalam pembangunan institusi Islam?

Perdebatan mengenai negeri manakah yang paling berjaya membawa imej serta pembangunan Islam kembali hangat diperkatakan di media sosial selepas satu hantaran tular membandingkan pencapaian Selangor dengan beberapa negeri lain seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Hantaran yang dimuat naik oleh pengguna Facebook dikenali sebagai Jamzuri Ardani itu mendakwa Selangor jauh lebih maju dalam aspek pembangunan institusi Islam berbanding negeri-negeri yang sering dikaitkan dengan politik berteraskan Islam.

Menurut beliau, Selangor mempunyai jumlah sekolah agama paling banyak di Malaysia. Malah, beliau mendakwa jumlah sekolah agama di Kelantan, Terengganu dan Kedah jika digabungkan sekalipun masih tidak mampu menandingi jumlah sekolah agama di Selangor.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa guru sekolah agama di Selangor menerima antara kadar gaji tertinggi di negara ini, di samping bantuan kerajaan negeri kepada institusi agama yang lebih besar dan konsisten.

Dalam aspek ibadah haji pula, beliau mendakwa Selangor mencatat jumlah jemaah haji paling ramai di Malaysia. 

Tambahnya lagi, setiap jemaah haji muassasah dari negeri itu turut menerima bantuan sebanyak RM1,500 daripada kerajaan negeri.

“Campur Kelantan, Terengganu dan Kedah pun masih tak boleh lawan bilangan jemaah haji Selangor,” katanya dalam hantaran tersebut.

Beliau juga menyentuh mengenai jumlah surau berdaftar di Selangor yang dikatakan mencecah 2,170 buah. Menurutnya, setiap surau di negeri itu menerima bantuan RM1,000 setiap kali Ramadan, sesuatu yang didakwa tidak berlaku di beberapa negeri lain.

Dalam masa sama, Selangor turut dikatakan mencatat kutipan zakat sekitar RM1.2 bilion setahun, jauh lebih tinggi berbanding gabungan kutipan zakat Kelantan, Terengganu dan Kedah yang dianggarkan sekitar RM850 juta.

Berdasarkan faktor-faktor tersebut, beliau menyimpulkan bahawa Islam di Selangor lebih “perkasa dan terpelihara” berbanding negeri-negeri yang sering membawa imej politik Islam.

Bagaimanapun, hantaran itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. Ada yang bersetuju bahawa kejayaan sesebuah pentadbiran Islam perlu diukur melalui pembangunan institusi, pendidikan agama dan kebajikan rakyat, bukannya sekadar slogan politik.

Namun begitu, terdapat juga pihak yang berpandangan bahawa perbandingan sedemikian kurang tepat kerana setiap negeri mempunyai jumlah penduduk, tahap pembangunan dan kekuatan ekonomi yang berbeza.

Sebagai negeri paling maju dan mempunyai jumlah penduduk tertinggi di Malaysia, Selangor sememangnya memiliki kapasiti ekonomi yang lebih besar, sekali gus mempengaruhi jumlah kutipan zakat, pembangunan sekolah agama dan bantuan kepada institusi Islam di negeri tersebut.