Saya tidak akan merayu, kata MP Hulu Terengganu

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid tidak akan merayu keputusan Bersatu menggantung keahliannya.

Tegasnya, keputusan tidak mengemukakan rayuan itu kerana Lembaga Disiplin parti didakwanya makin hilang kredibiliti kerana ia yang menyiasat, membuat tuduhan, mendakwa dan menjatuhkan hukuman.

“Kebelakangan ini, saya melihat terdapat beberapa perkembangan dan tindakan dalam parti yang pada pandangan saya kurang selari dengan asas perjuangan serta tidak konsisten dalam pelaksanaannya.

“Saya juga menyuarakan pandangan bahawa semangat Amar Makruf Nahi Mungkar yang menjadi asas perjuangan parti dilihat semakin terhakis dalam beberapa keadaan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas wakil rakyat Umno berkenaan berkata, Lembaga Disiplin parti memerlukan penambahbaikan dari segi ketelusan serta pemisahan fungsi siasatan, pendakwaan dan keputusan supaya lebih selari dengan prinsip keadilan.

Rosol yang menyertai Bersatu pada Disember 2018 itu memberitahu menerima notis penggantungan tersebut pada 29 April lalu yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp.

“Saya mengakui Bersatu sudah banyak memberi peluang dan sumbangan dalam perjalanan politik saya dan saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta terima kasih atas perkara itu,” kata beliau.

BACA JUGA Bersatu makin bersepai, tinggal 6 MP sahaja masih ‘hidup’