Heboh Netflix didakwa kumpul data pengguna, Peguam Negara Texas dah bersuara
Platform penstriman popular, Netflix berdepan tindakan saman selepas dipercayai mengumpul data pengguna termasuk kanak-kanak tanpa kebenaran.
Peguam Negara Texas, Ken Paxton (gambar atas) mendakwa Netflix turut direka bagi membuat pengguna terus menonton untuk tempoh lebih lama.
Lapor Reuters, Netflix didakwa menjejaki corak dan pilihan tontonan pengguna sebelum menjual data tersebut kepada syarikat pengiklanan dan broker data komersial.
Netflix turut didakwa menggunakan ciri ‘autoplay’ bagi memainkan rancangan seterusnya secara automatik untuk memastikan pengguna terus ‘melekat’ di depan skrin.
Saman tersebut turut memetik kenyataan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Netflix, Reed Hastings pada tahun 2020 yang mendakwa syarikat itu tidak mengumpul data pengguna.
Texas mendakwa tindakan itu melanggar undang-undang perlindungan pengguna negeri berkenaan.
Pihak berkuasa turut menuntut Netflix memadam data yang dikumpul secara tidak sah dan menghentikan penggunaan data pengguna tanpa kebenaran.
Untuk rekod, terdapat lebih 325 juta akaun pelanggan berbayar Netflix di seluruh dunia.
Netflix yang diasaskan Reed Hastings dan dimiliki oleh pemegang saham antaranya, The Vanguard Group dan BlackRock, mengaut keuntungan bersih hampir AS$11 bilion iaitu kira-kira RM46 bilion pada tahun lalu.
BACA JUGA Isu pasir Pahang jadi perbincangan, ini pandangan rakyat di media sosial