Dunia goyang, tapi Malaysia masih cipta kerja : Kadar pengangguran kekal rendah
Pasaran buruh Malaysia terus menunjukkan ketahanan apabila kadar pengangguran negara kekal rendah pada 2.9 peratus bagi Mac 2026 meskipun dunia berdepan tekanan ekonomi dan ketidaktentuan geopolitik.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata keadaan itu disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam guna tenaga serta peningkatan penyertaan tenaga buruh negara.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata momentum positif ekonomi domestik membantu pasaran pekerjaan negara kekal stabil sepanjang tempoh tersebut.
“Tenaga buruh meningkat kepada 17.31 juta orang pada Mac 2026 berbanding 17.30 juta pada Februari, manakala kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.9 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, jumlah penduduk bekerja turut meningkat kepada 16.80 juta orang berbanding 16.79 juta pada bulan sebelumnya.
Walaupun jumlah penganggur meningkat sedikit kepada 509,000 orang berbanding 506,800 pada Februari, kadar keseluruhan pengangguran masih kekal pada paras 2.9 peratus.
DOSM memaklumkan kategori pekerja terus membentuk kumpulan terbesar guna tenaga negara dengan jumlah 12.60 juta orang atau sekitar 75 peratus daripada keseluruhan pekerjaan.
Dalam masa sama, jumlah individu bekerja sendiri turut meningkat kepada 3.14 juta orang.
Mohd Uzir berkata sektor perkhidmatan kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan pekerjaan terutama dalam bidang penginapan, makanan dan minuman, teknologi maklumat serta pengangkutan dan penyimpanan.
Selain itu, sektor pembuatan, pembinaan dan pertanian turut merekodkan peningkatan guna tenaga.
Bagaimanapun, sektor perlombongan dan pengkuarian mencatat sedikit penurunan.
Dari sudut negeri pula, Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan kadar pengangguran paling rendah iaitu 1.3 peratus.
Ia diikuti Pahang pada 1.9 peratus manakala Selangor dan Melaka masing-masing mencatat kadar dua peratus.
Putrajaya juga merekodkan kadar penyertaan tenaga buruh tertinggi sebanyak 79.2 peratus, diikuti Selangor (78 peratus) dan Kuala Lumpur (76 peratus).
Menurut DOSM, prospek pasaran buruh negara dijangka terus stabil dalam tempoh mendatang disokong asas ekonomi domestik yang masih kukuh dan proses transformasi struktur ekonomi negara.
Namun begitu, Mohd Uzir mengingatkan pertumbuhan ekonomi global yang semakin perlahan serta krisis tenaga dunia boleh memberi kesan kepada momentum semasa.
“Perniagaan dan tenaga kerja perlu lebih anjal dalam menghadapi persekitaran ekonomi yang semakin dinamik dan tidak menentu,” katanya.
BACA JUGA AMANAH tempelak MP Pas guna sumber cerita “kawan-kawan” untuk serang PM