Siapa sebenarnya gila sangat nak PRU awal?
Desakan supaya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan lebih awal didakwa sebenarnya datang daripada kelompok politik yang paling tidak selesa dengan kestabilan semasa kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas editor dan perunding komunikasi strategik, Martin Vengadesan berkata budaya mencetuskan spekulasi mengenai pilihan raya awal, rombakan kabinet dan perubahan sokongan politik sudah menjadi “tradisi politik” sejak tsunami politik 2008.
Namun menurut beliau, persoalan sebenar ialah siapakah yang paling beria-ia mahu negara kembali memasuki fasa ketidaktentuan politik ketika dunia sedang berdepan tekanan ekonomi dan geopolitik.
“Siapa yang mahu kekacauan politik dan ketegangan ketika negara sedang bersedia menghadapi kesan ekonomi global?” soalnya.
Beliau berkata golongan yang paling tidak puas hati dengan status quo ketika ini termasuk beberapa bekas pemimpin kerajaan, pembangkang serta kelompok tertentu dalam media dan politik yang mahu merebut kembali pengaruh.
Martin menamakan beberapa tokoh seperti Azmin Ali, Rafizi Ramli dan Khairy Jamaluddin selain Pas yang kini menjadi parti terbesar di Parlimen sebagai antara pihak yang mungkin melihat pilihan raya awal sebagai peluang politik.
Menurutnya, dalam keadaan Barisan Nasional tidak lagi sekuat dahulu, ramai dalam kalangan mereka mahu peluang baharu untuk kembali berkuasa.
Pada masa sama, penyokong bekas perdana menteri seperti Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin juga didakwa tidak begitu selesa dengan kerajaan sedia ada.
“Ramai sedang menunggu isu tertentu untuk digunakan bagi menambah pengaruh dan kuasa politik masing-masing,” katanya.
Beliau turut mengaitkan perkembangan politik di Negeri Sembilan baru-baru ini termasuk krisis melibatkan istana dan gerakan tertentu dalam Umno negeri sebagai antara contoh percaturan politik yang sedang berlaku.
Martin mengingatkan rakyat supaya tidak melupakan kesan besar yang berlaku selepas Langkah Sheraton yang menyaksikan negara melalui tempoh ketidaktentuan politik dan perebutan kuasa.
“Sepatutnya kita bersyukur dengan kestabilan dan kemakmuran sekarang, bukannya mahu kembali ke era ketidakpastian dan politik lompat parti,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan Anwar masih mempunyai majoriti stabil dan tempoh kira-kira satu setengah tahun sebelum PRU wajib diadakan.
Justeru, tempoh itu sepatutnya digunakan untuk melaksanakan sebanyak mungkin reformasi institusi yang dijanjikan kerajaan.
Antara reformasi yang disebut termasuk cadangan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal atau 10 tahun, pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara, Rang Undang-Undang Ombudsman serta Akta Kebebasan Maklumat.
Martin turut menekankan kepentingan persempadanan semula kawasan pilihan raya sebelum PRU akan datang.
Menurut beliau, ketika ini masih wujud jurang besar jumlah pengundi antara kerusi bandar dan luar bandar sehingga menyebabkan representasi politik tidak seimbang.
Katanya, terdapat kerusi luar bandar yang menyokong PAS mempunyai jumlah pengundi jauh lebih kecil berbanding kerusi bandar yang cenderung menyokong Pakatan Harapan.
Beliau turut menyindir penganalisis politik yang sering membuat ramalan besar mengenai politik negara tetapi gagal menjangka beberapa peristiwa penting sebelum ini.
“Siapa yang berjaya ramal Anwar jadi PM pada 2022? Siapa ramal Najib kalah pada 2018? Atau tsunami politik 2008?
“Kalau benar ada yang berjaya ramal semua itu, tunjukkan bukti,” katanya.
BACA JUGA Dunia goyang, tapi Malaysia masih cipta kerja : Kadar pengangguran kekal rendah