Dulu lawan penjahat, sekarang pegang kuasa sebenar – Anwar ucap tahniah kepada Vijay 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada pelakon terkenal India, Vijay selepas beliau mencipta sejarah politik apabila dipilih sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu yang baharu.

Kemenangan Vijay menerusi parti Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) dianggap antara kejutan terbesar politik India apabila berjaya menamatkan dominasi tradisi dua gabungan besar Tamil Nadu iaitu DMK dan AIADMK.

Bekas bintang filem Tamil itu berjaya menarik sokongan besar pengundi muda dan kelas pertengahan menerusi kempen bertemakan antirasuah, kebajikan rakyat serta reformasi politik, selain memanfaatkan pengaruh luar biasa beliau dalam dunia hiburan.

Dalam hantaran di media sosial, Anwar berkata rakyat Tamil Nadu kini memberikan tanggungjawab jauh lebih besar kepada Vijay berbanding watak yang pernah dibawanya di layar perak.

Menurut beliau, selama bertahun-tahun peminat menyaksikan Vijay menewaskan ahli politik korup dan pelbagai “penjahat” dalam filem-filemnya, namun kini beliau memikul amanah sebenar sebagai pemimpin kerajaan negeri.

“Oru Viral Puratchi atau ‘revolusi satu jari’ kini berada di ambang mencipta sejarah,” katanya.

Anwar turut menegaskan Malaysia dan Tamil Nadu mempunyai hubungan sejarah, budaya serta hubungan rakyat yang sangat rapat sejak sekian lama.

Katanya, hubungan itu terjalin merentas generasi termasuk melalui komuniti masyarakat India di Malaysia yang mempunyai kaitan rapat dengan Tamil Nadu.

Perdana Menteri berkata beliau menantikan kerjasama erat bersama Vijay dalam tempoh mendatang demi memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Tamil Nadu.

BACA JUGA Wanita kongsi perkara paling disukainya lepas Anwar jadi PM, ramai rupanya rasa benda sama