Kos binaan meningkat, kerajaan perkenal Simen Rahmah
Kerajaan memperkenalkan inisiatif “Simen Rahmah” bagi membantu mengekang kenaikan kos pembinaan rumah mampu milik susulan tekanan harga bahan binaan akibat ketidaktentuan ekonomi global dan konflik geopolitik.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata langkah itu dilaksanakan menerusi kerjasama antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan membolehkan simen ditawarkan pada harga lebih rendah khusus untuk projek rumah mampu milik bernilai bawah RM300,000 seunit.
“Kami juga sedar kos pembinaan kini semakin meningkat susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat,” katanya ketika berucap pada sesi pratonton dan sidang media ARCHIDEX 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
Nga berkata bahan binaan utama seperti simen, keluli dan besi tetulang antara komponen yang paling terkesan dengan ketidaktentuan pasaran global terutama jika konflik antarabangsa terus berpanjangan.
Menurut beliau, turun naik harga bahan mentah ketika ini memberi tekanan besar kepada sektor pembinaan termasuk projek perumahan rakyat dan rumah mampu milik.
Justeru katanya, kerajaan mahu memastikan projek perumahan mampu milik tidak terjejas serta terus dapat dilaksanakan secara mampan di seluruh negara.
Beliau berkata inisiatif Simen Rahmah dijangka membantu menstabilkan kos pembinaan selain memberi kelegaan kepada pemaju yang terlibat dalam pembangunan rumah mampu milik.
Langkah itu juga dilihat sebahagian daripada usaha Kerajaan MADANI untuk memastikan rakyat terus mempunyai akses kepada kediaman berkualiti pada harga yang lebih mampu dimiliki meskipun ekonomi global sedang berdepan cabaran besar.
BACA JUGA Dulu lawan penjahat, sekarang pegang kuasa sebenar – Anwar ucap tahniah kepada Vijay