Malaysia ke pentas dunia: Holista-SCC meterai usahasama kolagen nano biri-biri

FOTO BERITA: Majlis Rasmi Menandatangani Perjanjian Usaha Sama Antara Holista Colltech Limited dan Swang Chai Chuan Limited di 1201,12th Floor, Amcorp Trade Centre, PJ Tower, Petaling Jaya Selangor. 12hb Mei 2026 (Selasa)

Dua syarikat tersenarai antarabangsa yang mempunyai akar umbi kukuh di Malaysia mencipta satu lagi pencapaian penting apabila memeterai perjanjian usaha sama strategik bagi memperluaskan pasaran global menerusi pembangunan teknologi kolagen nano biri-biri Australia. Majlis rasmi menandatangani perjanjian usaha sama antara Holista Colltech Limited dan Swang Chai Chuan Limited.

Kerjasama strategik 50:50 itu akan dilaksanakan melalui syarikat usahasama baharu, Ovicoll Pty Ltd, yang bakal memberi tumpuan kepada pembangunan kemudahan pengeluaran kolagen nano biri-biri berteknologi tinggi di Collie, Australia Barat.

Usahasama berkenaan menggabungkan kepakaran saintifik dan inovasi bioteknologi Holista Colltech dengan kekuatan modal serta rangkaian pengedaran antarabangsa milik Swang Chai Chuan Limited bagi menembusi pasaran global dalam sektor kesihatan, anti-penuaan dan kesejahteraan.

Menurut pihak pengurusan, pembangunan produk kolagen nano berasaskan ovine atau biri-biri itu dijangka membuka peluang besar dalam industri nutraseutikal, kosmetik, makanan kesihatan dan bioperubatan.

Antara kelebihan utama produk tersebut ialah sifatnya yang neutral dari sudut budaya dan agama, sekali gus menjadikannya alternatif “Halal” yang lebih diterima di pasaran antarabangsa berbanding sumber kolagen lain.

Kemudahan pengeluaran itu juga dibangunkan di Australia Barat bagi memanfaatkan status unik negara tersebut yang memiliki kawanan biri-biri bebas penyakit Scrapie serta diiktiraf mempunyai risiko BSE yang boleh diabaikan oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH).

Pihak syarikat turut memaklumkan bahawa kawalan sempadan Australia yang ketat sejak tahun 1901 membantu mengekalkan status biosekuriti bertaraf dunia itu, sekali gus meningkatkan keyakinan pasaran antarabangsa terhadap keselamatan produk berasaskan ovine.

Dalam perkembangan sama, Holista Colltech turut mengesahkan bahawa syarikat itu telah memeterai perjanjian bersama Regenerex Pharma, sebuah syarikat yang sedang berkembang dalam sektor pembalut luka, bagi memperluaskan penggunaan teknologi kolagen nano dalam bidang perubatan moden.

Sementara itu, Swang Chai Chuan Limited memberi komitmen pembiayaan strategik melibatkan pentauliahan operasi serta modal kerja penting bagi memastikan projek berkenaan dapat dipercepatkan dan diperluaskan ke peringkat global.

Majlis tersebut turut diserikan dengan taklimat media rasmi, pembentangan pengurusan kanan kedua-dua syarikat serta sesi soal jawab bersama wakil media dan pemain industri.

Holista Colltech Limited merupakan syarikat kesihatan dan kesejahteraan yang disenaraikan di Australia dengan operasi utama di Malaysia, manakala Swang Chai Chuan Limited pula ialah syarikat FMCG tersenarai di Hong Kong yang terkenal dalam sektor pengedaran, logistik dan pergudangan di Malaysia.