Politik jangan sampai sentuh maruah sahabat Nabi – Sheikh Umar
Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh digesa menarik balik kenyataan kontroversi berkaitan beberapa sahabat Rasulullah SAW serta memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam.
Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata isu berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan sensitiviti agama dan kedudukan mulia para sahabat Nabi dalam tradisi Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Menurut beliau, sebarang perbahasan berkaitan sejarah kehidupan para sahabat perlu dilakukan secara beradab, berhati-hati dan berpandukan riwayat sahih.
“Para sahabat Rasulullah SAW mempunyai kedudukan yang tinggi dan dimuliakan, justeru sebarang perbahasan berkaitan kehidupan mereka perlu dilakukan secara beradab, berhati-hati dan bersandarkan riwayat sahih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata kenyataan yang boleh menimbulkan persepsi penghinaan atau merendahkan martabat para sahabat lebih serius apabila datang daripada seorang tokoh agama dan Ahli Parlimen.
Sebelum ini, Nik Zawawi dilaporkan mengeluarkan kenyataan dalam satu ceramah politik di Kuala Terengganu hujung minggu lalu yang menggambarkan sejarah hidup empat sahabat utama Rasulullah SAW sebelum memeluk Islam secara negatif.
Antara kenyataan yang tular termasuk dakwaan bahawa Saidina Abu Bakar as-Siddiq merupakan seorang “bapa ceti” yang menindas orang miskin ketika zaman Jahiliah manakala Saidina Umar al-Khattab pula digambarkan sebagai lelaki zalim dan suka berzina sebelum menerima Islam.
Sheikh Umar berkata permohonan maaf terbuka perlu dibuat kerana rakaman ceramah tersebut telah tersebar luas dan menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.
Beliau turut menggesa pihak berkuasa agama menjalankan siasatan secara telus dan adil supaya isu berkaitan kesucian agama tidak dipolitikkan atau dipermainkan mana-mana pihak.
Menurutnya, Islam mengajar umatnya supaya memuliakan para sahabat Rasulullah SAW kerana merekalah generasi yang membawa, mempertahankan dan menyebarkan Islam sehingga sampai kepada umat hari ini.
“Kebebasan berceramah dan berpolitik tidak boleh dijadikan alasan untuk mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti akidah serta adab terhadap tokoh-tokoh agung Islam,” katanya.
BACA JUGA Kos binaan meningkat, kerajaan perkenal Simen Rahmah