YB, ‘boss’ GLC patut dulu dipotong subsidi minyak – Akmal
Semua wakil rakyat dan ‘boss’ syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) adalah golongan yang pertama perlu dipotong subsidi minyak.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh berkata, mereka terbabit sudah menerima elaun kenderaan tinggi sehingga mencecah ribuan ringgit.
Tegasnya, tindakan itu wajar dilaksanakan berbanding mengurangkan subsidi bahan api untuk rakyat yang memerlukan.
“Bukan kurangkan subsidi minyak untuk rakyat yang memerlukan tetapi tambah subsidi mereka (rakyat memerlukan) dan ambil dari pihak yang tidak memerlukan seperti golongan yang gajinya berbelas ribu.
“Dan orang yang pertama perlu dipotong subsidi minyak adalah semua wakil rakyat dan boss GLC, GLIC yang dah ada elaun kenderaan beribu nilainya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Merlimau berkata, pengurusan krisis tidak sewajarnya dibuat secara pukul rata bagi semua lapisan masyarakat.
“Bila ada yang beritahu, mereka yang (gaji) berbelas ribu pun membayar cukai.
“Ya, ini sangat benar, tetapi jika dibandingkan jumlah subsidi petrol RM400 sebulan untuk mereka dengan yang bergaji RM1,700 sebulan, sudah tentu kesannya amat besar untuk golongan bergaji rendah.
“Jika golongan bergaji besar merungut mereka adalah penyumbang cukai terbesar.
“Mereka juga perlu ingat, jika bukan kerana golongan bergaji rendah yang menjadi pekerja mereka, belum tentu lagi mereka mampu untuk dapat gaji besar itu,” kata Akmal lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong menafikan sebarang pengumuman baharu berkaitan pengurangan kuota bulanan bahan api RON95 di bawah program BUDI95.
Beliau menjelaskan kenyataan beliau ketika satu majlis pagi semalam juga tidak menyentuh sebarang pengumuman baharu bagi pihak kerajaan, terutama untuk mengumumkan had 150 liter berpotensi menjadi dasar kerajaan.
Jelasnya, apa yang dijelaskan beliau ialah BUDI95 adalah mekanisme yang baik kerana ia memberikan data menyeluruh untuk memahami corak perjalanan harian rakyat Malaysia.
BACA JUGA Bersatu makin bersepai, tinggal 6 MP sahaja masih ‘hidup’