Ihsan Islam bukan cek kosong: Toleransi, akauntabiliti dalam isu pelarian ada batasnya

Oleh MASZSYUHADA MASZRI

“Sudah diberi betis, hendak paha.” Peribahasa ini bukan lagi sekadar hiasan sastera, tetapi telah menjadi mantera kemarahan yang bergema di setiap ceruk kedai kopi hingga ke garis masa media sosial.

Saban hari, warga Malaysia, terutamanya dari kawasan Lembah Klang terpaksa menghadapi realiti yang menjengkelkan: lorong-lorong perumahan yang dahulunya bersih kini menjadi sarang kekotoran, kaki lima premis perniagaan dikuasai secara haram, serta kelibat peminta sedekah yang semakin agresif mengejar pemandu dan pejalan kaki di jalan raya.

Bagi rakyat Malaysia, apa yang mereka saksikan bukan lagi potret sebuah komuniti yang memerlukan pertolongan, sebaliknya dilihat sebagai satu bentuk pencerobohan ruang sosial yang sistematik.

Sentimen netizen yang menyamakan segelintir pelarian, terutamanya etnik Rohingya—dengan taktik “Zionis” bukan muncul tanpa sebab, malah dilihat semakin meruncing pasca-Covid.

Ia adalah manifestasi ketakutan eksistensial tuan rumah terhadap tetamu yang dianggap mula memijak kepala.

Apabila timbul dakwaan tentang tuntutan hak tanah, desakan hak kerakyatan, serta kebiadaban terhadap keikhlasan warga tempatan, garis sabar rakyat akhirnya pecah. Isu ini bukan lagi sekadar tentang “xenofobia” atau kebencian melulu; ia adalah tuntutan akauntabiliti terhadap ihsan yang telah lama disalahgunakan.

Rakyat kini bertanya: Sampai bila kita harus berlembut dengan golongan yang seolah-olah menganggap kedaulatan negara ini boleh dibeli dengan simpati?

Kemarahan rakyat Malaysia mempunyai penjelasan yang kukuh dan berpijak di bumi nyata. Terdapat beberapa faktor psikologi dan sosiopolitik utama yang mencetuskan reaksi keras ini, bermula dengan pencabulan ruang sosial dan krisis kebersihan.

Rakyat melihat isu kebersihan di penempatan pelarian bukan sekadar masalah kemiskinan, tetapi ketiadaan sivik.

Apabila kebersihan awam diabaikan secara terang-terangan, ia dilihat sebagai satu bentuk penghinaan terhadap norma masyarakat setempat yang menjunjung tinggi nilai kebersihan.

Selain itu, wujud sikap entitlement (rasa berhak) di mana timbul persepsi bahawa pelarian kini mula menuntut hak mengatasi tanggungjawab, mencetuskan kebimbangan bahawa kedaulatan tanah air sedang digadai secara perlahan-lahan.

Keadaan ini membunuh sifat empati secara drastik apabila bantuan tidak dihargai, malah dibalas dengan sikap kasar atau gejala jenayah.

Akar masalah

Menyedari keresahan rakyat yang kian memuncak, penganjuran “Simposium Islam dan Kemanusiaan:Tanggungjawab dalam Membantu dan Menlindungi Golongan Pelarian” pada 22 April lalu di Kuala Lumpur merupakan satu detik yang tepat untuk kita bermuhasabah.

Ia menawarkan ruang untuk menganalisis polemik ini melampaui sentimen luaran yang emosional, sebaliknya menyelami akar masalah melalui lensa dasar dan teologi yang lebih mendalam.

Antara rumusan utama daripada simposium adalah keperluan mendesak untuk merangka jalan keluar yang mengimbangi prinsip ihsan Islam dengan tuntutan kedaulatan negara.

Sebagai sebuah negara dengan Islam sebagai pasak identiti, Malaysia seharusnya mencerminkan kemuliaan akhlak dalam menyantuni kemanusiaan. Namun, di tengah polemik pelarian yang semakin kusut, aspek kerohanian seolah-olah terpinggir daripada perbincangan arus perdana.

Kita sering terperangkap dalam keresahan sehingga terlupa bahawa penghijrahan Rasulullah SAW ke Ta’if, Habshah, dan Madinah adalah manifestasi agung mencari perlindungan demi mempertahankan kebenaran.

Al-Quran menerusi Surah Ali-Imran (195) dan Al-Hashr menjanjikan kemuliaan buat mereka yang terusir mahupun yang melindungi, malah konsep Aman (perlindungan) turut mengangkumi golongan bukan Muslim.

Rasulullah SAW di Madinah tidak sekadar memberi suaka, tetapi memperkasakan maruah pelarian melalui integrasi sosial dan sumber mata pencarian yang sah—satu model berteraskan iman yang membina semula maruah tanpa menggadaikan keadilan buat tuan rumah.

Atas dasar itulah, Ustaz Mohd Khairul Anwar Ismail (Presiden GPM Malaysia) memperkenalkan kerangka Fiqh Tamkin untuk mengubah “beban” menjadi “aset”. Namun, hujah pemberdayaan ini sering terbentur dengan realiti pendidikan.

Walaupun Dr. Farah Nini Dusuki (SUHAKAM) menekankan hak pendidikan asas, harapan untuk melihat kerjasama erat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam waktu terdekat dilihat amat tipis memandangkan kekangan polisi sedia ada.

Sebagai alternatif, model seperti Al-Ikhlas School yang diasaskan oleh Ustaz Arfat seharusnya diberi perhatian. Sekolah ini bukan sekadar pusat pengajian, tetapi menerapkan subjek orientasi Malaysia agar pelarian dapat berintegrasi dengan lebih baik.

Menghormati norma

Perlu diingat bahawa Malaysia adalah penandatangan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), dan membiarkan kanak-kanak ini dahaga ilmu tanpa peluang bersekolah hanya akan membazirkan potensi mereka.

Tanpa pendidikan, kemiskinan dan buta huruf yang diwarisi daripada generasi dewasa mereka akan berterusan, sekali gus menyukarkan mereka untuk berdikari dan menghormati norma masyarakat setempat.

Walau bagaimanapun, masyarakat masih terbelenggu mitos ekonomi. Aira Azhari (Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS Malaysia) menyanggah persepsi ini dengan fakta bahawa pelarian berpotensi menyumbang RM6.5 bilion kepada KDNK menjelang 2040.

Anggapan mereka “merampas” kerja rakyat adalah meleset; 4,000 peluang pekerjaan baharu sebenarnya tercipta buat warga tempatan jika pelarian dibenarkan bekerja sah.

Malah, majikan hanya beralih kepada mereka untuk mengisi kekurangan kritikal dalam sektor 3D yang tidak diminati rakyat tempatan.

Pemformalan kerja pelarian sebenarnya mampu menghapuskan ekonomi “bayangan” yang menindas sambil menjana sumbangan cukai buat negara.

Meskipun bervisi menjadi model tadbir urus pelarian berasaskan nilai Islam, Malaysia seolah-olah memikul beban isu Rohingya sendirian di ASEAN.

Sebagai non-signatory Konvensyen 1951, obsesi terhadap ratifikasinya adalah tidak sihat kerana Malaysia mampu melaksanakan rangka kerja domestik secara mandiri.

Walaupun ihsan diberikan melalui suaka sementara, kos tinggi pusat tahanan sebenarnya boleh dialihkan untuk pendidikan pelarian jika rakan serantau dan negara maju mengamalkan prinsip perkongsian beban yang adil.

Oleh itu, langkah proaktif yang boleh diambil adalah dengan menggalakkan masyarakat dan pihak swasta melabur dalam perusahaan sosial yang memperkasakan komuniti ini.

Penggubal dasar pula digesa untuk turun ke lapangan, mendekati komuniti pelarian, dan mendengar sendiri suara mereka.

Langkah ini kritikal bagi memastikan setiap dasar yang dirangka adalah inklusif, tegas, dan praktikal—kerana suara komuniti adalah kunci utama untuk merangka polisi yang benar-benar berpijak di bumi nyata tanpa menggadaikan kedaulatan tanah air.

*MASZSYUHADA MASZRI merupakan Penyelidik di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia. Artikel ini merupakan pandangan dan rumusan beliau berdasarkan “Simposium Islam dan Kemanusiaan:Tanggungjawab dalam Membantu dan Melindungi Golongan Pelarian” anjuran IAIS Malaysia dengan kerjasama IKIM, ABIM, dan UNHCR.

BACA JUGA Ramai terkejut ingatkan Nik Zawawi nak minta maaf, rupanya dia pula maafkan orang lain