Akhirnya Nik Zawawi minta maaf, akui kesilapan
Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh akhirnya tampil memohon maaf secara terbuka serta mengakui kesilapan susulan kontroversi berhubung kenyataan melampau berkaitan sejarah kehidupan para sahabat Rasulullah SAW sebelum memeluk Islam.
Dalam satu kenyataan media sebentar tadi, Nik Zawawi berkata dia menghargai teguran, nasihat dan pandangan yang diberikan oleh para tuan guru, asatizah, sahabat-sahabat serta masyarakat berhubung isu tersebut.
Menurutnya, kontroversi yang tercetus berpunca daripada kecuaiannya sendiri dalam mengolah maklumat serta menyampaikan kenyataan berkenaan.
“Saya mengakui bahawa saya kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian ketika memberikan kenyataan tersebut.
“Justeru, saya dengan rendah hati memohon maaf atas kekhilafan tersebut,” katanya.
Ahli Parlimen Pasir Puteh berkenaan berkata, dia sama sekali tidak berniat untuk menjatuhkan maruah atau menghina insan-insan terpilih yang dimuliakan oleh Allah SWT.
Sebaliknya, wakil rakyat Pas itu menjelaskan tujuan asal kenyataannya hanyalah untuk menekankan kehebatan risalah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dalam mengubah sosio budaya masyarakat Jahiliah kepada kehidupan yang lebih mulia dan berperadaban.
Suka berzina
Sebelum ini, tular siri video memaparkan ceramah Nik Zawawi mengeluarkan kenyataan berkenaan empat sahabat Rasulullah.
Pemimpin Pas itu menggambarkan Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan dan Ali Abi Talib mempunyai sejarah hidup keji sebelum memeluk Islam.
Nik Zawawi turut mendakwa Sayidina Abu Bakar sebagai seorang “bapa ceti” yang gemar memeras orang miskin semasa berada dalam zaman Jahiliyah.
Sayidina Umar pula digambarkannya dalam satu program ceramah politik di Kuala Terengganu itu sebagai lelaki zalim serta suka berzina sebelum memeluk Islam.
Nik Zawawi dalam kenyataan permohonan maafnya itu menambah, beliau mengambil tanggungjawab penuh terhadap isu tersebut dan mengakui ia merupakan kekhilafan peribadi.
Menurutnya, kontroversi tersebut tidak ada kaitan dengan pendirian Pas mahupun mana-mana pimpinan parti pembangkang itu.
“Saya mengambil tanggungjawab penuh terhadap perkara ini sebagai kekhilafan peribadi saya, dan ia sama sekali tidak berkaitan dengan pendirian Pas mahupun kepimpinannya,” katanya.
Wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu turut memohon agar Allah SWT mengampunkan segala kekhilafannya dan menerima usaha semua pihak dalam menyampaikan dakwah dengan hikmah dan kebijaksanaan.
BACA JUGA Pas hina sahabat Nabi: Tidak beradab, bawa kepada fitnah – Mufti Wilayah