Pas jangan bertindak macam wakil umat Islam nak maafkan Nik Zawawi

Aktivis politik, Fairul Al Qasas mengkritik Pas supaya tidak bertindak seperti mewakili umat Islam di Malaysia dalam isu memaafkan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Beliau mengingatkan parti itu bahawa urusan umat Islam adalah urusan semua, bukan urusan Pas.

Pas katanya, tidak mewakili umat Islam di Malaysia dan tidak boleh menerima permohonan maaf Nik Zawawi dengan tujuan untuk menutup kes ini.

“Penghinaan kepada para Sahabat Khalifah ar-Rashidin adalah sangat berat. Ucapan beliau penuh dengan kesombongan, pembohongan dan penghinaan.

“Nik Zawawi wajib disiasat, beliau perlu tunjukkan kitab rujukan beliau, kitab itu juga wajib dirampas dan dikaji supaya tidak digunakan oleh pihak lain untuk mengelakkan kesesatan,” katanya di Facebook.

Beliau menambah, Ahli Parlimen Pasir Puteh itu wajib mengaku salah, mengaku menyebarkan maklumat bohong, mengaku bahawa ceramah tersebut tidak benar dan bertaubat untuk tidak melakukannya lagi.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan terbaharu Pas menerusi kenyataan Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang memaklumkan Pas menerima permohonan maaf dibuat pemimpin parti itu.

Tuan Ibrahim berkata, orang ramai juga memahami bahawa kesilapan para sahabat Rasulullah SAW pada era sebelum Islam mereka sudah diampuni Allah, justeru masing-masing berjuang bersama nabi.

“Kepimpinan parti menerima penjelasan dan permohonan maaf daripada YB Nik Muhammad Zawawi atas kekhilafan yang berlaku ekoran ucapan beliau dalam ceramah di Kuala Terengganu,” katanya dalam kenyataan petang tadi.