Harga diesel, RON97 dan RON95 tanpa subsidi turun
Harga runcit diesel, RON95 tanpa subsidi dan RON97 diturunkan bagi tempoh 14 Mei hingga 20 Mei berikutan penurunan harga pasaran antarabangsa.
Menurut Kementerian Kewangan, diesel mencatatkan penurunan sebanyak 30sen kepada RM4.87 seliter.
RON95 turun 15 sen kepada RM3.87 seliter, manakala RON97 turun 20 sen kepada RM4.70 seliter.
RON95 bersubsidi (BUDI95) kekal pada harga RM1.99 seliter.
Kementerian Kewangan berkata, harga minyak mentah masih mencecah sekitar AS$100 setong berbanding sekitar AS$60 hingga AS$70 setong sebelum konflik berlaku.
Jelasnya, harga runcit bahan api turut dipengaruhi lonjakan kos logistik dan insurans susulan peningkatan risiko di zon konflik.
“Risiko gangguan laluan di Selat Hormuz juga terus memberi tekanan kepada bekalan minyak global sekali gus mempengaruhi harga pasaran,” katanya.
Dalam keadaan pasaran global yang masih tidak menentu, Kerajaan Madani menyeru rakyat supaya terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat bagi membantu memanjangkan bekalan negara.