Pemuda AMANAH buat laporan polis isu fakwaan hina sahabat nabi

KUALA LUMPUR, 13 Mei 2026 — Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) tampil membuat laporan polis terhadap seorang pemimpin PAS susulan kenyataan yang didakwa menghina dua sahabat utama Nabi Muhammad SAW.

Pengarah Mobilisasi Pemuda AMANAH, Ramadhan Lotphi berkata, kenyataan yang dikaitkan dengan seorang ulama PAS itu dilihat jelas memperlekehkan Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Umar Al-Khattab.

Menurut beliau, kenyataan tersebut bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah berpotensi menjatuhkan imej Islam serta menggalakkan penyebaran kandungan yang menghina tokoh-tokoh besar dalam sejarah Islam.

“Tokoh sahabat Nabi mempunyai kedudukan yang sangat tinggi dalam sejarah Islam. Sebarang bentuk penghinaan, provokasi atau manipulasi terhadap mereka demi kepentingan politik tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, laporan polis itu dibuat bagi mendesak Polis Diraja Malaysia menjalankan siasatan segera serta mengambil tindakan tegas mengikut lunas undang-undang terhadap pihak terlibat.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa Pemuda AMANAH akan terus mempertahankan pendekatan Islam yang damai, beradab serta menyatukan umat tanpa memainkan isu agama secara melampau.

Ramadhan turut merakamkan penghargaan kepada pimpinan Pemuda AMANAH, pimpinan mahasiswa AMANAH serta AMANAH Kawasan Bangi yang hadir memberikan sokongan semasa laporan polis tersebut dibuat.