Antara visa Amerika dan QR kod Malaysia?

Pakar kewangan, Datuk Nik Hasyudeen Yusoff mengingatkan Malaysia supaya lebih berhati-hati dalam memperluaskan kebergantungan ekonomi dan kewangan terhadap syarikat-syarikat Amerika Syarikat (AS), terutama dalam landskap geopolitik dan perdagangan dunia yang semakin tegang.

Pandangan itu disuarakan beliau susulan lawatan Presiden AS, Donald Trump ke Beijing bagi mengadakan pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping bersama delegasi yang turut disertai tokoh-tokoh korporat dan perniagaan terbesar AS.

Menurut Nik Hasyudeen, kehadiran kelompok elit perniagaan tersebut menunjukkan bagaimana hubungan perdagangan dan geopolitik AS sentiasa bergerak seiring dengan kepentingan syarikat gergasi negara itu.

“Siapa yang dia bawa ke Beijing? Ada 16 orang kaya AS mewakili perniagaan masing-masing,” katanya menerusi hantaran media sosial.

Beliau turut menyentuh isu tarif perdagangan yang diperkenalkan Trump terhadap China, yang menurutnya terus berubah mengikut perkembangan politik dan keputusan mahkamah di AS.

Dalam masa sama, Nik Hasyudeen menggesa Malaysia melihat semula tahap kebergantungan negara terhadap produk dan perkhidmatan syarikat AS kerana ia berpotensi membuka ruang kepada tekanan ekonomi dan syarat perdagangan yang memihak kepada Washington.

Menurut beliau, antara contoh paling jelas ialah kebimbangan Amerika terhadap penggunaan sistem pembayaran kod QR di Malaysia dan negara-negara ASEAN yang semakin berkembang pesat.

Katanya, penggunaan QR kod membolehkan transaksi dilakukan tanpa terlalu bergantung kepada rangkaian pembayaran antarabangsa seperti Visa dan Mastercard yang selama ini dikuasai syarikat Amerika.

“AS tidak suka penggunaan kod QR di Malaysia dan di negara-negara ASEAN kerana itu membolehkan kita tidak menggunakan sistem Mastercard atau Visa,” katanya.

Beliau menyifatkan perkembangan sistem pembayaran tempatan dan serantau sebagai langkah penting dalam memperkukuh kedaulatan ekonomi digital negara.

Pilihan rakan dagang

Menurut Nik Hasyudeen lagi, Malaysia seharusnya mula memperluaskan pilihan rakan dagang dan institusi kewangan antarabangsa tanpa terlalu terikat kepada dominasi ekonomi AS.

Beliau turut menarik perhatian terhadap pengaruh institusi kewangan China termasuk Industrial and Commercial Bank of China (ICBC) yang disifatkannya sebagai bank terbesar dunia, mengatasi beberapa bank utama Amerika.

“Kadang-kadang disebabkan kita terlalu taasub dengan Amerika, kita tak selidik pun pilihan-pilihan komersial lain yang ada,” katanya lagi.

Dalam nada lebih keras, beliau turut mengingatkan rakyat supaya berhati-hati terhadap kecenderungan mengagungkan hubungan politik dengan AS sebagai simbol kekuatan kepimpinan.

Pandangan tersebut hadir ketika persaingan geopolitik antara AS dan China semakin memberi kesan langsung kepada ekonomi global termasuk perdagangan, teknologi, kewangan digital dan rantaian bekalan antarabangsa.

Malaysia sebelum ini turut dilihat mengambil pendekatan lebih terbuka dalam memperkukuh hubungan ekonomi dengan pelbagai kuasa dunia termasuk China, negara ASEAN, Timur Tengah dan blok ekonomi baharu BRICS.

BACA JUGA Kerajaan MADANI lancar mediasi percuma untuk PKS