Stor haram disyaki seleweng diesel bersubsidi digempur dalam Ops Tiris 4.0

FOTO BERITA: Sebuah stor haram dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti penyelewengan bahan api diesel bersubsidi digempur dalam satu operasi bersepadu di sekitar Pandamaran, Selangor semalam menerusi OPS TIRIS 4.0 (Bersepadu) melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM). Serbuan kira-kira jam 1 tengah hari pada 13 Mei itu dilakukan hasil risikan dan penemuan awal pihak polis sebelum pemeriksaan lanjut diteruskan oleh KPDN Selangor. (Gambar: UKKKPDN )

Menurut Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Selangor, Mohd Hanizam Kechek, operasi tersebut merupakan sebahagian usaha berterusan penguatkuasaan bersepadu bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan berjadual, khususnya melibatkan diesel bersubsidi. “Hasil pemeriksaan awal mendapati premis tanpa nama dan nombor itu dipercayai dijadikan tempat penyimpanan bahan api diesel secara meragukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihak penguat kuasa turut menemui pelbagai peralatan dan kenderaan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti tersebut termasuk hos getah saluran bahan api, skid tank, lori tangki serta lori bonded yang membawa Intermediate Bulk Container (IBC) berkapasiti 1,000 liter. Dalam serbuan sama, tiga lelaki warga tempatan berusia bawah 40 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan. “Mereka dipercayai berperanan sebagai pemandu lori, kelindan lori dan penjaga stor haram berkenaan,” katanya.

Pemeriksaan lanjut mendapati ketiga-tiga suspek gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan pemilikan dan pengangkutan bahan api diesel yang disimpan di premis tersebut. Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Seksyen 21 dibaca bersama Peraturan 3(1) kerana disyaki memiliki barang kawalan dengan niat menjalankan urus niaga tanpa lesen sah. Menurut KPDN Selangor, sebanyak 25,000 liter diesel disyaki bersubsidi bernilai kira-kira RM119,000 berjaya disita dalam operasi itu.

“Jumlah keseluruhan nilai sitaan termasuk kenderaan dan peralatan dianggarkan mencecah RM328,000,” katanya. Kesemua barang rampasan kini disimpan di stor ekshibit KPDN Selangor untuk tindakan lanjut. KPDN Selangor menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau syarikat yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan bersubsidi.

Jika disabitkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyelewengan barang kawalan bersubsidi diminta menyalurkan aduan melalui WhatsApp 019-848 8000, aplikasi Ez Adu KPDN, talian hotline 1-800-886-800 atau portal e-aduan KPDN.