Akmal Nasir kecewa, wang rakyat terpaksa ditambah lagi untuk LRA Sungai Limau
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir meluahkan kekecewaan terhadap kelewatan projek Loji Rawatan Air Sungai Limau sehingga menyebabkan kerajaan terpaksa meluluskan tambahan kos sebanyak RM50 juta.
Menurut beliau, isu berkenaan lebih mengecewakan kerana tambahan peruntukan itu melibatkan dana yang sepatutnya boleh disalurkan kepada projek lain yang lebih mendesak dan memberi manfaat kepada rakyat.
“Saya tak marah jika tambahan RM50 juta itu bukan dana awam.
“Tapi saya marah kerana Kementerian Ekonomi terpaksa meluluskan peningkatan kos RM50 juta,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Akmal berkata, keputusan itu dibuat ketika kerajaan sedang berdepan pelbagai kekangan kewangan dan semua pihak diminta mengamalkan langkah berjimat-cermat.
Beliau menegaskan, RM50 juta tersebut sepatutnya boleh dialihkan kepada projek pembangunan lain yang lebih memerlukan sekiranya projek itu diuruskan dengan lebih berkesan.
“Dalam keadaan krisis dan kita dikerah berjimat-cermat, sepatutnya saya boleh alihkan RM50 juta untuk projek lain yang lebih memerlukan.
“Lagi marah sebab kita sudah pesan berkali-kali sebelum ini,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kelewatan projek itu sebagai berpunca daripada sikap pihak tertentu yang hilang rasa malu serta tidak mengambil serius amanah dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat.
“Semuanya kerana hilang rasa malu, tak ambil serius amanah dan kepercayaan daripada rakyat,” katanya.
Projek LRA Sungai Limau sebelum ini menjadi perhatian ramai susulan kelewatan pelaksanaannya walaupun ia amat penting bagi meningkatkan bekalan air bersih dan menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Kedah.
BACA JUGA Ancaman dadah ‘zombi’: KKM bakal umum langkah tangani dalam masa terdekat