Belia perlu berani hadapi cabaran digital, elak terpedaya scammer — Wan Azizah

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Semarak Belia @ HBN 2026 Kawasan Cheras & Bandar Tun Razak oleh YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail; Ahli Parlimen Bandar Tun Razak di SMK Seri Tasik, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. 14hb Mei 2026 (Khamis)

Semangat Hari Belia Negara (HBN) 2026 terus disemarakkan menerusi penganjuran Program Semarak Belia @ HBN 2026 Peringkat Kawasan Cheras dan Bandar Tun Razak yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Wan Azizah Wan Ismail di SMK Seri Tasik, Bandar Tun Razak hari ini.

Program yang menghimpunkan pelajar, pemimpin belia, guru, ibu bapa dan komuniti setempat itu menjadi platform untuk menyuntik semangat kepimpinan, jati diri serta nilai perpaduan dalam kalangan generasi muda selaras aspirasi Malaysia MADANI.

Dalam ucapannya, Wan Azizah menekankan bahawa belia merupakan aset penting negara yang bakal menentukan masa depan Malaysia, justeru mereka perlu diperkasa dengan ilmu, akhlak dan prinsip yang kukuh.

Beliau turut berkongsi kisah perjuangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika muda yang sanggup menolak tawaran kerja lumayan di luar negara demi memperjuangkan pendidikan anak-anak miskin dan tercicir.

“Kita mahu anak-anak muda memahami bahawa kejayaan bukan sekadar memiliki sijil, tetapi menjadi insan yang berguna kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Menurut beliau, generasi muda perlu berani melangkah ke hadapan dalam apa juga bidang diceburi, namun pada masa sama sentiasa berhati-hati dengan cabaran era digital termasuk penipuan dalam talian, scammer dan pengaruh negatif media sosial.

Wan Azizah turut menyeru belia supaya berpegang teguh kepada prinsip, ilmu yang benar dan akhlak mulia sebagaimana pengajaran yang terkandung dalam Surah al-Kahfi yang menceritakan keteguhan pendirian anak-anak muda mempertahankan kebenaran.

“Peganglah pada nilai dan semangat yang baik. Hidup ini penuh ujian, tetapi semangat yang ditanam sejak muda akan membentuk masa depan yang lebih baik,” katanya lagi.

Beliau berkata, misi pembangunan belia negara bukan sahaja melahirkan generasi cemerlang dari sudut intelektual dan ekonomi, malah memiliki semangat perpaduan, tanggungjawab sosial serta nilai moral yang tinggi.

Katanya, program seperti Semarak Belia HBN 2026 penting dalam membina kepimpinan belia, memperkukuh semangat kesukarelawanan dan memperluaskan jaringan strategik dalam komuniti menerusi pelbagai pengisian berkaitan inovasi, teknologi digital, kebudayaan dan pembangunan sahsiah.

“Malaysia MADANI membawa maksud kita membina sebuah masyarakat yang baik dan harmoni berteraskan nilai kemanusiaan serta peradaban,” ujarnya.
