Fahmi Fadzil rai pelajar cemerlang SPM, hargai pengorbanan guru di Lembah Pantai

FOTO BERITA: Majlis Anugerah Cemerlang SPM dan Sambutan Hari Guru Lembah Pantai 2026 bersama YB Datuk Fahmi Fadzil Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai di Dewan Merbau, IWK Ecopark, Pantai Dalam, Kuala Lumpur. 14hb Mei 2026 (Khamis)

Majlis berkenaan diadakan bagi meraikan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM selain menghargai jasa pendidik yang memainkan peranan besar dalam membentuk masa depan generasi muda.

Dalam ucapannya, Fahmi berkata kejayaan para pelajar merupakan kebanggaan seluruh warga Lembah Pantai dan membuktikan komitmen guru serta ibu bapa dalam memastikan kecemerlangan pendidikan anak-anak.

“Saya amat berbangga dengan jumlah pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang tahun ini. Ini kebanggaan seluruh warga Lembah Pantai,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan akan membantu pelajar dan keluarga yang memerlukan sokongan bagi melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi termasuk mendapatkan bantuan kewangan serta maklumat berkaitan agensi yang boleh membantu.

Menurut beliau, beberapa agensi termasuk MAWIP serta pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai bersedia membantu pelajar yang bakal menyambung pengajian terutama mereka yang mendapat tempat di universiti luar Kuala Lumpur.

Dalam masa sama, Fahmi turut menzahirkan kebimbangan terhadap cabaran dunia digital yang semakin membimbangkan khususnya ancaman jenayah seksual terhadap kanak-kanak menerusi media sosial.

Beliau merujuk kepada siri tangkapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap individu dewasa yang terlibat dalam jenayah seksual kanak-kanak termasuk pemilikan jutaan bahan eksploitasi seksual.

“Kerajaan mahu memastikan internet bukan sahaja mudah diakses, tetapi juga selamat untuk anak-anak kita,” katanya.

Beliau menyeru guru dan ibu bapa memainkan peranan lebih aktif dalam memantau penggunaan media sosial dalam kalangan anak-anak bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa penipuan atau jenayah seksual dalam talian.

Menurut Fahmi, kerajaan sedang meneliti langkah mengehadkan penggunaan media sosial kepada individu berusia 16 tahun ke atas seperti yang dilaksanakan beberapa negara lain.

“Niatnya untuk melindungi anak-anak daripada menjadi mangsa pedofil dan penjenayah seksual,” ujarnya. Beliau bagaimanapun menegaskan kerajaan tidak berhasrat mengharamkan permainan video atau e-sukan, sebaliknya mahu memastikan penggunaan platform digital berlaku dalam keadaan selamat dan terkawal.

Pada majlis sama, Fahmi turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada 12 sekolah dalam kawasan Lembah Pantai sempena sambutan Hari Guru sebagai penghargaan kepada warga pendidik.

Beliau berkata sumbangan itu boleh digunakan pihak sekolah untuk meraikan guru-guru mengikut kesesuaian masing-masing

Mengakhiri ucapannya, Fahmi menegaskan kejayaan beliau hari ini juga hasil didikan guru-guru sejak di bangku sekolah dan berharap generasi muda terus berusaha menjadi insan yang dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara.