Anak istimewa rasa benar-benar dihargai era MADANI

Ini adalah kisah masyarakat yang pernah tular apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam belanjawawan 2026 mencadangkan pendidikan percuma untuk golongan Orang Kurang Upaya(OKU) dalam semua peringkat pendidikan.

Tentunya berita ini berlalu begitu sahaja, usai belanjawan dibentang. Tetapi bagi anak-anak istimewa dan ibu bapa yang ada anak istimewa, berita ini adalah umpama lampu yang menyuluh kehidupan untuk membesarkan anak istimewa.

Selama bertahun-tahun, ramai ibu bapa yang membesarkan anak berkeperluan khas hidup dalam kebimbangan memikirkan masa depan pendidikan anak mereka.

Kos rawatan, terapi, pengangkutan dan pembelajaran khas sering menjadi beban berganda yang terpaksa dipikul dalam diam. Ada ibu bapa terpaksa mengorbankan kerjaya, mengikat perut dan hidup penuh ketidakpastian demi memastikan anak istimewa mereka tidak tercicir daripada sistem pendidikan.

Namun bagi sebahagian keluarga, pengumuman kerajaan MADANI yang menawarkan pendidikan percuma kepada pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) di institusi pengajian tinggi awam membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar bantuan kewangan.

Ia dianggap sebagai pengiktirafan bahawa anak-anak istimewa akhirnya benar-benar dilihat dan dihargai oleh negara.

Mengimbau perkara itu, dititipkan semula perasaan  pelajar autisme dan pelukis yang diiktiraf Malaysia Book of Records, Rajendrra Vharma, yang menyampaikan penghargaan terbuka kepada Anwar.

Menurutnya, pendidikan percuma bukan sekadar polisi kerajaan, tetapi simbol harapan buat ribuan keluarga yang selama ini berjuang memastikan anak berkeperluan khas mendapat peluang pendidikan yang adil.

“Pengumuman pendidikan percuma bukan sekadar polisi, tetapi ia hadiah sebuah harapan. Ia membuktikan masa depan kami penting dan setiap kanak-kanak, tanpa mengira cabaran mereka, mempunyai tempat dalam perjalanan masa depan Malaysia,” katanya.

Luahan Rajendrra itu mencerminkan suara ramai ibu bapa yang sering merasakan perjuangan mereka kurang difahami masyarakat.

Bagi keluarga yang mempunyai anak autisme atau OKU, cabaran mereka tidak pernah berhenti di bilik darjah. Mereka perlu berdepan kos terapi yang tinggi, rawatan berkala, kesukaran akses pendidikan serta stigma sosial yang masih menebal dalam kalangan tertentu.

Sebab itu pengumuman kerajaan untuk memberikan pendidikan percuma kepada kira-kira 3,000 pelajar OKU di IPTA, politeknik dan kolej komuniti dilihat sebagai langkah yang menyentuh hati banyak keluarga.

Lebih penting, dasar itu memberi mesej jelas bahawa pembangunan negara tidak seharusnya hanya dinikmati kelompok arus perdana, tetapi turut merangkumi golongan yang selama ini sering berada di pinggir perhatian.

Dalam era MADANI yang menekankan nilai ihsan dan kemanusiaan, pendekatan sebegini dilihat semakin dekat dengan denyut nadi rakyat biasa.

Semoga dalam belanjawan tahun depan di bawah kerajaan MADANI akan ada lagi pengumuman yang baik untuk anak istimewa dan keluarga mereka.

BACA JUGA Akmal Nasir kecewa, wang rakyat terpaksa ditambah lagi untuk LRA Sungai Limau