Selangor lancar PickleSpark 2026/2027 perkasa sukan pickleball akar umbi

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Selangor Pickleball Development Program (PickleSpark) disempurnakan oleh YB Najwan Halimi Exco Belia, Sukan & Keusahawana di Pickleball Playground, Shah Alam, Selangor. 15hb Mei 2026 (Jumaat)

Kerajaan Negeri Selangor terus memperkukuh pembangunan sukan akar umbi menerusi pelancaran Program Pembangunan Sukan Pickleball Negeri Selangor 2026/2027 atau PickleSpark 2026/2027 yang berlangsung di Pickleball Playground, Jalan Padang Jawa, di sini hari ini.

Majlis perasmian program tersebut disempurnakan oleh Mohd Najwan Halimi yang menyifatkan pickleball sebagai sukan berpotensi besar untuk diketengahkan di peringkat sekolah dan komuniti kerana sifatnya yang inklusif serta sesuai dimainkan oleh semua peringkat umur.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah murid dan guru sekolah daripada lima zon seluruh Selangor yang telah dilengkapi dengan kemudahan gelanggang pickleball sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan pembangunan sukan itu di negeri berkenaan.

Menurut Najwan, PickleSpark 2026/2027 merupakan inisiatif strategik bagi memperkasa pembangunan sukan pickleball secara lebih tersusun, menyeluruh dan kompetitif, selaras dengan usaha melahirkan lebih ramai atlet serta jurulatih berkualiti.

Program berkenaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada penyertaan, malah turut menekankan aspek pembangunan bakat, latihan dan kejurulatihan secara sistematik bagi memastikan sukan pickleball mampu berkembang sebagai salah satu sukan kompetitif baharu di Selangor.

Antara objektif utama pelaksanaan program tersebut ialah mempromosikan pickleball di peringkat sekolah dan komuniti, memperkukuh program pembangunan atlet dan kejurulatihan negeri serta menganjurkan pertandingan peringkat zon bagi meningkatkan pendedahan dan kesiapsiagaan peserta menghadapi pertandingan.

Pelaksanaan pelan pembangunan itu dijadual berlangsung selama 12 bulan dengan sasaran penyertaan seramai 500 murid berusia antara 10 hingga 15 tahun serta 100 guru sekolah.

Daripada jumlah tersebut, sebahagian peserta akan dikenal pasti dan digilap sebagai atlet berpotensi, manakala guru yang terlibat akan diberikan latihan khusus untuk melahirkan jurulatih pickleball bertauliah di Selangor.

Program PickleSpark 2026/2027 dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Selangor, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Universiti Teknologi MARA serta PKNS Real Estate Sdn. Bhd..

Kerajaan Negeri Selangor turut mengalu-alukan penglibatan sektor korporat dan syarikat swasta bagi menyokong kesinambungan program berkenaan demi membangunkan ekosistem sukan yang mampan, aktif dan berdaya saing di negeri itu.