Lima jenis sayur import ini wajib ada sijil analisis mulai 1 Jun
Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan bahawa lima jenis sayuran import akan diwajibkan memiliki Sijil Analisis (CoA) bermula 1 Jun depan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, langkah tersebut bagi memastikan hanya produk yang memenuhi piawaian keselamatan dan kualiti dibenarkan memasuki pasaran tempatan.
Pelaksanaan syarat CoA itu, jelasnya, membabitkan cili merah, timun, tomato, sawi dan kubis bulat.
“Langkah ini bertujuan memperkukuh kawalan keselamatan makanan negara serta memastikan produk import yang memasuki pasaran tempatan mematuhi standard keselamatan dan kualiti yang ditetapkan,” katanya menerusi hantaran di media sosial rasmi beliau.
Mohamad berkata, penguatkuasaan syarat tersebut akan dilaksanakan secara bersepadu dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Pertanian melalui Agensi Kawal Selia Padi dan Beras (AKPS) di semua pintu masuk negara.

Dalam masa sama, beliau memberi jaminan bahawa pelaksanaan dasar baharu itu akan berjalan lancar tanpa menjejaskan kestabilan bekalan sayur-sayuran dalam negara.
Katanya, inisiatif tersebut selaras dengan komitmen KPKM untuk memastikan keselamatan, sekuriti dan kualiti makanan terus terpelihara demi kesejahteraan rakyat Malaysia.
“Maklumat lanjut berkaitan permohonan CoA akan diumumkan melalui laman rasmi KPKM dalam masa terdekat,” tambah beliau lagi.
BACA JUGA UEC: BM, Sejarah kekal jadi syarat wajib lulus untuk masuk IPTA