Dong Zong kata syarat ke IPTA masih terlalu tinggi, ini penjelasan KPT
Standard serta kualiti kemasukan lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) tidak boleh di kompromi.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman, berkata semua syarat kemasukan ditentukan Senat Universiti masing-masing tanpa campur tangan pihak luar.
Beliau berkata demikian menjawab kritikan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang mendakwa syarat kemasukan ditetapkan KPT masih terlalu tinggi,
“Sebenarnya kita di peringkat universiti sudah ada syarat kita.
“Kita sudah pun menelitinya dan semestinya bagi KPT, Senat Universiti adalah kuasa yang tertinggi, mereka yang menentukan kualiti serta standard (kemasukan).
“Yang itu kita tak boleh kompromi. Tak ada sesiapa yang boleh campur tangan,” jelasnya.
Dr Azlinda berkata demikian pada sidang media khas Laluan Kemasukan Pelajar Lepasan Di Luar Sistem Pendidikan Kebangsaan ke IPTA, di Putrajaya hari ini.
Menurut beliau, syarat lengkap akan diumumkan apabila permohonan dibuka secara terus kepada universiti terbabit mulai 30 Jun depan.
Jelasnya, kemasukan calon lepasan UEC dan tahfiz tetap tertakluk kepada meritokrasi serta syarat asas termasuk kepujian Bahasa Melayu dan lulus Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Justeru, tambahnya, kerajaan hanya membuka ruang akses pendidikan tinggi kepada pelajar daripada aliran luar Sistem Pendidikan Kebangsaan tanpa menjejaskan integriti sistem pendidikan negara.
BACA JUGA Lima jenis sayur import ini wajib ada sijil analisis mulai 1 Jun