Agong, Raja Permaisuri hadiri pertabalan Raja Charles III

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengadakan lawatan khas ke London, United Kingdom (UK) bermula hari ini bagi menghadiri upacara pertabalan Raja Charles III.

Menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, lawatan bermula hari ini hingga 14 Mei depan itu turut disertai dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Baginda berdua telah dijemput oleh Baginda Raja Charles III untuk menghadiri upacara pertabalan di Westminster Abbey pada 6 Mei 2023.

“Seri Paduka Baginda berdua juga telah berkenan untuk menghadiri Majlis Resepsi dihoskan oleh Baginda Raja Charles III di Istana Buckingham pada 5 Mei 2023,” menurut kenyataan Wisma Putra, hari ini.

Lawatan khas itu amat signifikan dalam konteks menyatukan hubungan sedia ada dan akrab yang dikongsi di antara Malaysia dan UK, terutamanya di antara institusi diraja kedua-dua negara serta ikatan dalam Komanwel.

Menurut kenyataan itu, lawatan khas berkenaan turut menzahirkan kepentingan hubungan erat di antara kedua-dua negara bekerjasama dalam pelbagai bidang yang disokong di peringkat pemerintahan tertinggi negara.

Raja Charles III turut merupakan raja untuk 14 buah negara Komanwel lain menggantikan bondanya, Ratu Elizabeth II yang mangkat pada 8 September 2022 lalu.

 

BACA JUGA Agong perkenan kehadiran keluarga jemaah menteri