Isu Hina Sahabat Nabi Gugat Keharmonian Negara – Ketua AMANAH Kota Raja

FOTO BERITA: Laporan Polis diketahui oleh Tuan Hj Mohd Azmi Jusoh Ketua AMANAH Kota Raja dan pimpinan kawasan berhubung kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dato’ Nik Muhammad Zawawi Salleh menghina Sahabat Nabi di Pondok Polis Taman Berjaya Shah Alam, Selangor. 15hb Mei 2026 (Jumaat)

Parti Amanah Negara (AMANAH) Kawasan Kota Raja hari ini membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh susulan kenyataan beliau yang didakwa menghina sahabat Nabi Muhammad SAW serta menyinggung sensitiviti umat Islam. Laporan polis tersebut dibuat di Pondok Polis Taman Berjaya dan diketuai Ketua AMANAH Kota Raja, Mohd Azmi Jusoh bersama pimpinan kawasan.

Dalam sidang media selepas laporan polis, Mohd Azmi berkata laporan polis itu dibuat berikutan ucapan yang dikaitkan dengan Nik Muhammad Zawawi yang didakwa mengandungi unsur penghinaan terhadap para sahabat Nabi SAW, selain boleh mengelirukan masyarakat Islam serta menjejaskan keharmonian negara. Menurut beliau, kenyataan tersebut turut disifatkan sebagai berunsur fitnah dan mampu mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang di negara ini.

“Saya berpandangan bahawa kenyataan tersebut boleh mengelirukan masyarakat Islam, mencetuskan perpecahan, menimbulkan kebencian sesama umat Islam serta menggugat ketenteraman awam dan keharmonian negara,” katanya ketika membacakan laporan polis itu. Sehubungan itu, beliau memohon agar pihak polis menjalankan siasatan menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan serta mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat unsur kesalahan.

Mohd Azmi turut menggesa supaya tindakan disiplin diambil terhadap Ahli Parlimen berkenaan termasuk meminta beliau meletakkan jawatan dan mempertimbangkan penarikan gelaran kebesaran sekiranya dakwaan itu terbukti benar. Katanya, kenyataan sedemikian dianggap melampaui batas dan bercanggah dengan prinsip keharmonian masyarakat yang selama ini dipelihara rakyat negara ini.

“Kami di AMANAH Kota Raja amat tersinggung dengan kenyataan beliau yang disifatkan amat biadab dan menghina sahabat Nabi. Selama puluhan tahun kita hidup bermasyarakat, ini kali pertama kami mendengar kenyataan seperti itu,” katanya. Beliau turut memaklumkan bahawa AMANAH Kota Raja akan menghantar surat rasmi kepada Parlimen Pasir Puteh serta menyalinkan surat tersebut kepada Setiausaha Parlimen Malaysia bagi mendesak tindakan lanjut diambil.

Tambah beliau, tindakan tegas perlu dikenakan dan tidak memadai dengan sekadar permohonan maaf kerana isu membabitkan penghinaan terhadap sahabat Nabi merupakan perkara yang sangat sensitif kepada umat Islam.

Laporan polis itu, katanya, dibuat demi menjaga keharmonian negara, mempertahankan sensitiviti agama Islam serta mengelakkan ketegangan dalam kalangan masyarakat.
