Konvensyen PH pentas muhasabah penting menuju PRU16

Konvensyen Pakatan Harapan (PH) yang dijadual berlangsung di Johor pada 17 Mei ini dilihat sebagai langkah strategik untuk menghidupkan semula jenama gabungan itu, memperkukuh jentera parti dan menilai semula dasar kerajaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pensyarah Pengajian Polisi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Yusri Ibrahim, berkata konvensyen tersebut diadakan pada waktu yang penting ketika PH dilihat semakin tenggelam selepas mengambil alih tampuk pentadbiran negara.

Menurut beliau, program itu bukan sahaja bertujuan memanaskan semula jentera pilihan raya, malah menjadi platform untuk kepimpinan parti yang menerajui kerajaan melakukan penilaian menyeluruh terhadap dasar-dasar yang telah dilaksanakan.

“Walaupun kerajaan hari ini merupakan Kerajaan Perpaduan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim tetap merupakan Pengerusi PH.

“Apa sahaja dasar kerajaan akan menjadi cerminan kepada PH sama ada memberi kesan positif atau negatif terhadap sokongan pengundi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Yusri berpendapat dalam sistem demokrasi, sesebuah kerajaan lazimnya akan menggubal dasar yang mesra kepada kelompok pengundi teras kerana kehilangan sokongan asas boleh menyebabkan kekalahan pada pilihan raya berikutnya.

Tulang belakang

Jelasnya, antara kelompok utama yang selama ini menjadi tulang belakang PH ialah pengundi etnik Cina, komuniti perniagaan, golongan M40 atasan dan T20, masyarakat sivil, penduduk bandar serta kelompok progresif.

“Adakah polisi-polisi yang dibuat oleh kerajaan yang diketuai PH mesra dan meraikan mereka atau sebaliknya?

“Selepas tiga tahun enam bulan PH mengetuai kerajaan, apa status semasa sokongan kelompok tersebut kepada PH? Adakah semakin meningkat?” katanya.

Untuk rekod, Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan memberi amanat khas dalam Konvensyen PH bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, pada 17 Mei ini.

Konvensyen tersebut dijangka mengumpulkan lebih 3,000 perwakilan dari seluruh negara mewakili PKR, AMANAH dan DAP.

Pimpinan utama yang hadir akan menyampaikan amanat masing-masing di samping perbahasan dari wakil setiap negeri.

Mengulas lanjut, Dr Yusri berkata, sekiranya sokongan semakin kukuh, PH berpotensi mencatat kemenangan besar dalam PRU16.

Bersandar fakta

Namun, kata beliau, jika sokongan semakin merosot dan dalam masa sama, gabungan itu gagal menarik segmen pengundi baharu, peluang untuk mengekalkan kuasa akan menjadi semakin sukar.

“Inilah yang PH perlu fikir, perlu koreksi sebaiknya.

“Perlu bersandar kepada data-data yang memiliki kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi,” kata beliau.

Sehubungan itu, Dr Yusri berpendapat konvensyen hujung minggu ini merupakan medan terbaik untuk parti-parti komponen menilai semula pelbagai dasar kerajaan, termasuk berkaitan ekonomi, subsidi, percukaian dan penguatkuasaan terhadap perniagaan.

“Sepanjang berada di lapangan, ini antara yang banyak dibangkitkan oleh pengundi teras PH terhadap kerajaan pimpinan PH,” kata Dr Yusri lagi.

BACA JUGA Bukannya isu Melayu tergadai, PN beri laluan kepada UEC tiada pula membantah